OPPO Find X Automobili Lamborghini Edition – Peranti Pertama Dilengkapi Super VOOC

Sehubungan dengan pelancaran OPPO Find X di Paris, OPPO turut mengumumkan OPPO Find X Automobili Lamborghini Edition, sebuah peranti edisi istimewa hasil daripada kerjasama dengan pihak Lamborghini.

Apa yang memberi kelainan untuk edisi Lamborghini ini ialah ia dilengkapi dengan sistem pengecasan terbaharu yang dipanggil Super VOOC Flash Charge. Sangat sinonim dengan Lamborghini yang mengeluarkan kereta-kereta pantas, teknologi pengecasan ini juga dikatakan mampu memenuhkan bateri pada OPPO Find X hanya dalam masa 35 minit sahaja.

Seperti yang diketahui, teknologi Super VOOC telah lama diperkenalkan tetapi ia tidak direalisasikan sehingga sekarang. Melalui teknologi ini, ia menjadikan OPPO Find X Edisi Lamborghini sebuah telefon pintar paling pantas untuk dicas setakat ini.

Daripada segi lain, edisi Lamborghini ini tidak didatangkan dengan panel gelas dibelakang, sebaliknya menggunakan kemasan Carbon Fibre dengan logo Lamborghini. Perkakasan lain yang turut menjadi pelengkap ialah cip pemproses Snapdragon 845, memori sebesar 8GB, dan storan mencapai 512GB.

OPPO dan Lamborghini dalam masa sama turut mengumumkan mereka akan terus bekerjasama untuk produk-produk lain di masa akan datang.

Harga untuk OPPO Find X Automobili Lamborghini ialah Euro1,699 atau sekitar RM7,874 selepas tukaran mata wang semasa.

You might also like