Mahkamah Kesatuan Eropah Mengisytiharkan Uber Sebagai Sebuah Syarikat Pengangkutan

Mahkamah tertinggi Kesatuan Eropah baru-baru ini telah memutuskan bahawa Uber bukan sekadar sebuah aplikasi yang menawarkan perkhidmatan digital, sebaliknya ia merupakan sebuah syarikat pengangkutan yang sama seperti perkhidmatan yang ditawarkan oleh syarikat pengangkutan lain seperti teksi.

Keputusan untuk mengisytiharkan Uber sebagai sebuah syarikat pengangkutan, sekaligus telah menyebabkannya untuk dikawal selia sama seperti perkhidmatan pengangkutan awam yang lain. Ini juga bermaksud bahawa Uber perlu mematuhi peraturan ketat yang dikawal oleh persatuan teksi di negara itu. Sungguhpun Uber dilihat telah cuba untuk mempertahankan bahawa ia merupakan sebuah platform teknologi yang menghubungkan pemandu persendirian dengan penumpang, rayuannya itu masih tidak diterima oleh mahkamah tertinggi.

Kes pertikaian selama lima tahun antara Uber dengan pelbagai persatuan teksi di seluruh Eropah ini tercetus kerana kumpulan pemandu teksi di negara itu telah mendakwa bahawa Uber telah memintas perniagaan mereka dan sepatutnya ia juga harus tertakluk pada peraturan dan undang-undang yang sama.

Setakat ini pihak Uber telah dipaksa untuk memberhentikan perkhidmatan UberPop di beberapa negara utama Eropah. Manakala penawaran UberX pula perlu dioperasikan oleh pemandu profesional yang berlesen.

You might also like