OPPO Find X Dilancarkan Dengan Rekaan Unik Masa Hadapan Bersama Spesifikasi Terkini

OPPO Find X telah dilancarkan secara rasmi hari ini membawakan rekaan yang unik seperti telefon pintar masa hadapan. Peranti ini hadir dengan ciri-ciri menarik serta lengkap dengan spesifikasi kelas atasan yang dimahukan rata-rata pengguna.

OPPO Find X dipadankan skrin penuh bersaiz 6.4-inci OLED dengan resolusi FHD+. Skrin ini memiliki nisbah skrin-ke-kerangka hampir 94 peratus dengan dagu nipis di bahagian bawah. Di sebelah belakang pula, peranti ini menggunakan panel berasaskan kaca yang kemas tanpa perumah kamera.

Bukan bermaksud tiada sebarang kamera, tetapi lensa-lensa kamera pada telefon ini disembunyikan disebalik permukaan gelas. Sebaik aplikasi kamera diaktifkan, kamera depan dan kamera belakang boleh dilihat melalui pergerakan mekanikal yang menggelungsur pada badan peranti.

OPPO Find X dibekalkan dengan dwi kamera belakang 20MP + 16MP dan kamera swafoto 25 MP yang dilengkapi sensor 3D untuk ciri Omoji dan ciri Face Unlock. Bagi menjana peranti canggih ini, cip pemproses Snapdragon 845 diguna pakai bersama RAM 8GB dan storan seluas 256GB.

Sumber kuasa disalurkan daripada bateri sebesar 3,730mAh yang menyokong pengecasan pantas VOOC. Tiada bicu audio atau pengimbas cap jari dimuatkan pada telefon pintar ini.

OPPO Find X dioperasikan sistem antaramuka Color OS berlandaskan Android 8.1 Oreo yang menyokong AI (kecerdasan buatan) untuk lebih efisyen.

Buat masa ini tiada pengumuman berkenaan ketersediaan OPPO Find X untuk pasaran Malaysia termasuk harganya.

Sumber

You might also like