Lenovo Legion Y730 Dan Y530, Laptop Gaming Dengan Rekaan Yang Cool!

1240
- Iklan -

Lenovo yang sedia terkenal dengan produk komputer hari ini mengumumkan dua lagi model terbaharu iaitu Lenovo Y730 dan Y530. Bagi yang belum tahu, siri Y ialah laptop gaming dibawah jenama Legion. Siri Legion sering kali menjadi pilihan oleh golongan gamer ‘low profile’ yang tidak mahukan reka bentuk keterlaluan.

 

Melalui Legion Y730, ia hadir dengan rekaan seperti sebuah buku kulit keras yang unik. Laptop yang menggunakan konsep ‘multi-purpose’ ini sangat sesuai buat golongan eksekutif muda yang gemarkan game di waktu makan tengah hari. Ia dilengkapi paparan bezel nipis menggunakan teknologi IPS dengan resolusi HD penuh yang dipadankan bersama tubuh badan aluminium berwarna kelabu.

Sementara pada Legion Y530 pula, ia dikemaskan dengan warna hitam diikuti tekstur “O” pada lambang “Legion”. Reka bentuk yang bersegi ini sama sekali tidak mengetepikan sistem penyejukan. Walaupun nipis dan ringan, gril berlubang di hampir sekeliling laptop membolehkan haba panas keluar dengan cepat selain dibantu dengan dua saluran penyejuk jenis tembaga serta kipas multi-rotate.

Papan dalaman yang berkuasa menggunakan pemproses Intel i7 Generasi ke-8 dan kad grafik NVIDIA GeForce GTX 1050 Ti telah dioperasikan oleh Windows 10. Papan kekunci dengan kadar respon 1 milisaat turut dipadankan dengan sokongan paparan 144Hz.

 

Bagi menjadikan ia sebuah laptop serba-boleh, unit speaker mendapat talaan daripada Dolby Audio dan Dolby Atmos pada model Y730. Pada papan kekunci, Legion Y730 didatangkan dengan papan kekunci lampu RGB, manakala Y530 dengan lampu LED putih.

Harga untuk kedua-dua model adalah bermula USD930 (~RM3,730) untuk varian 15-inci dan USD1,180 (~RM4,634) bagi pilihan 17-inci untuk Legion Y730. Masing-masing akan mula dipasarkan bermula September 2018.