Meizu Lancar 3 Peranti Dengan Spesifikasi Menarik – Meizu 15 Plus, 15 & 15 Lite

Meizu hari ini memperkenalkan barisan telefon pintar dalam siri 15 dengan membawakan tiga peranti berlainan antaranya Meizu 15 Plus, Meizu 15, dan 15 Lite. Peranti-peranti yang dilancarkan di China ini memperlihatkan barisan peranti mewakili kelas pertengahan hingg kelas atasan.

Meizu 15 Plus

Peranti ini adalah yang teratas sekali dengan spesifikasi setaraf peranti induk di pasaran yang menggunakan cip pemproses Exynos 8895 yang sama digunakan pada peranti Samsung Galaxy Note8, Galaxy S8, dan Galaxy S8+ sebelum ini. Ia didatangkan dengan skrin AMOLED dengan nisbah 18:9 bersaiz 5.95-inci beresolusi QHD (2560 x 1440p) – bingkai tidak melengkung tetapi ternipis di dunia dengan ruang setebal 1.17mm secara kasarnya.

Selain itu, dimuatkan juga kapasiti RAM 6GB dengan dua pilihan storan 64GB atau 128GB, namun tidak disediakan slot untuk kad microSD. Teknologi haptik mEngine yang disumbatkan pula membolehkan peranti menyokong sokongan tindak balas gegaran lebih kurang sama seperti yang ada pada peranti Apple.

Pada jabatan kamera, Meizu 15 Plus menyediakan kamera daripada gabungan 12MP + 20MP dengan aperture f/1.8 yang dibantu penstabilan imej optikal (OIS) dan penstablian imej elektronik. Sistem zum optikal menyokong sehingga 2-kali dan digital pada zum 3-kali. Kamera depan membawakan sensor 20 Megapiksel serta tidak ketinggalan bateri sebesar 3,500mAh menerusi sambungan pengecasan pantas 24W (12V/2A) USB Type-C.

Meizu 15

Untuk model pertengahan pula, Meizu 15 dipadankan dengan skrin kecil sedikit menggunakan paparan AMOLED 5.46-inci dengan resolusi FHD (1920 x 1080p). Perkakasan dalaman diperkasakan dengan setcip Snapdragon 660, RAM 4GB, storan seluas 64GB atau 128GB dengan bateri berkapasiti 3,000mAh juga menyokong pengecasan pantas seperti model atasnya.

Bahagian kamera, ia menampilkan sistem kamera yang sama seperti Meizu 15 Plus dengan kehadiran sensor 12MP + 20MP serta kamera 24 Megapiksel untuk berswafoto. Tiada fungsi OIS, sebaliknya digantikan dengan penstabilan imej elektronik (EIS) sahaja.

Meizu 15 Lite

Terakhir sekali ialah Meizu 15 Lite merupakan peranti dengan spesifikasi paling rendah antara ketiga-tiga produk ini. Ia dipadankan dengan skrin 5.46-inci LTPS LCD 5.46-inci FHD (1920 x 1080p) dan tidak mengenakan sistem dwi-kamera tetapi hanya kamera tunggal dibekalkan. Meizu meletakkan kamera untuk model ini dengan sensor 12 Megapiksel f/1.9 untuk bahagian belakang, manakala kamera 20 Megapiksel yang sama untuk kamera depan.

Bateri yang menjana peranti ini pula menggunakan bateri 3,000mAh dengan sokongan pengecasan pantas mCharge 18W (9V/2A). Buat masa ini peranti ini dilancarkan dengan tanda harga mampu milik bermula CNY2,999 (~ RM1,055) sehingga CNY3,299 (~RM2,050) seunit.

 

Baca Juga:

 

You might also like