
Samsung Dilaporkan Sedang Menyiasat Isu Skrin Pada Galaxy S9
Minggu lepas Samsung Galaxy S9/S9+ telah dilancarkan di Malaysia. Samsung Galaxy S9 juga telah dinobatkan sebagai skrin terbaik untuk telefon pintar setakat ini oleh DisplayMate. Walaubagaimanapun, baru-baru ini dikatakan sebilangan pengguna Galaxy S9 telah mengalami masalah skrin tidak mengesan apabila sentuhan dibuat.
Ramai ahli forum mengatakan ia mungkin kerana death spot (tempat mati) pada sebahagian paparan Galaxy S9. Ada juga yang mencadangkan supaya pengguna terkesan untuk meningkatkan tahap tekanan pada sentuhan menerusi glove mode pada peranti. Namun, kaedah ini masih lagi tidak dapat menyelesaikan isu yang dihadapi oleh rata-rata pengguna.
Samsung yang pantas memberi respon menyatakan syarikat mereka sentiasa peka terhadap pengalaman pengguna menggunakan produk. Mengenai isu skrin tidak berfungsi dengan lancar, pasukan Samsung kini memulakan siasatan bagi mengenal pasti punca masalah berlaku.
Jika ada pengguna di Malaysia menghadapi masalah berkenaan, kami sarankan anda supaya menghantar peranti ke pusat servis Samsung untuk proses selanjutnya.