Beli Samsung Galaxy Note8, Dapat Tisu Basah?!

Sudah menjadi kebiasaan buat pengguna yang memilih untuk membeli barangan melalui atas talian (online) kerana ia bukan sahaja memudahkan, kadangkala harganya juga lebih murah. Tetapi sejak belakangan ini, kedengaran beberapa berita kurang enak membabitkan segelintir peniaga atas talian yang cuba ambil kesempatan ketika berurusan dengan pihak pembeli.

Terbaru, seorang lelaki di laman Facebook meluahkan rasa kesal apabila barangan yang sudah dibeli melalui laman rasmi terkenal bukan sahaja tidak sampai, malah mangsa juga telah ditipu.

Menurut Ivan Liew, dia telah membeli sebuah telefon pintar Samsung Galaxy Note8 pada 12 Disember 2017. Apabila menerima barang yang dibeli, dia mendapati di dalamnya hanya terdapat dua paket tisu basah! Ivan berkata, telefon pintar itu dijual dan dihantar sendiri oleh pihak Lazada dan telah membuat pembayaran sebanyak RM3,219 melalui kad kredit CIMB Visa miliknya.

Berang menjadi mangsa penipuan, Ivan terus membuat laporan polis dan menghubungi perkhidmatan pelanggan agar barang atau wang pembayarannya dapat dikembalikan semula. Namun sehingga ke hari ini, tiada sebarang berita dari pihak Lazada.

“24 Februari ni genap dua bulan saya tak dapat apa-apa maklumat daripada Lazada. Saya tak sangka, ini cara Lazada layan pelanggan mereka,” katanya.

Kepada yang ingin membeli barang secara atas talian, pesan kami supaya lebih berhati-hati terutamanya jika melibatkan barangan yang mahal. Pastikan juga penjual tersebut bukan scammer walaupun barangan dibeli di laman rasmi.

You might also like