
Vivo X20 Plus UD Dilancarkan – Peranti Pertama Dunia Dengan Pengimbas Cap Jari Pada Skrin
Selepas membuat kemunculan di CES 2018, vivo telah memberi tamparan kepada pesaing lain dalam inovasi yang diperkenalkan. Kini, vivo X20 Plus UD diumumkan secara rasmi dengan beberapa perkakasan serba canggih termasuk yang pertama di dunia menggunakan pengimbas cap jari pada skrin.

Vivo X20 Plus dilengkapi paparan hampir penuh 6.43-inci HD penuh+ dengan skrin nisbah 18:9. Paparan AMOLED yang digunakan memudahkan pengguna untuk nyahkunci telefon hanya dengan meletakkan jari pada skrin.
Diperkuatkan dengan RAM 4GB dan storan sebesar 128GB, ia juga menyediakan slot kad hibrid untuk kad microSD atau kad SIM kedua sebagai pilihan. Peranti ini juga mengekalkan daya tarikan premium menerusi kerangka badan logam bersaiz 165.2 x 80.02 x 7.35mm. Dengan berat 183g, bateri yang dimuatkan ialah sebesar 3,905mAh bersama teknologi pengecasan pantas.

Dijana oleh cip kelas pertengahan Snapdragon 660, ia juga menempatkan fungsi dwi kamera di belakang. Ia hadir dengan kombinasi kamera 12 MP f/1.8 + 5MP disamping bantuan LED flash. Kamera depan pula menggunakan sensor sebesar 24 Megapiksel untuk tujuan swafoto.
Perkakasan lain turut menyediakan sokongan 4G VoLTE, Bluetooth 5.0, dan USB Type-C. Peranti ini didatangkan dengan pilihan warna hitam sahaja buat masa ini.
Vivo X20 Plus UD mula dijual 1 Februari depan pada harga CNY3,598 (kira-kira RM2,209) di China.

