
Qualcomm Snapdragon 660 dan 630 – Pengalaman Fotografi Lebih Maju, Permainan Video Lebih Hebat, Ketersambungan Berintegrasi dan Pembelajaran Melalui Mesin
Qualcomm Technologies Inc. baru-baru ini telah memperkenalkan dua platform mudah alih terbaru iaitu Qualcomm® Snapdragon™ 660 dan 630, kedua-duanya direka untuk menyokong peningkatan prestasi yang membolehkan fotografi yang lebih maju dan pengalaman permainan video yang dipertingkatkan.
Di samping itu, ia dapat memanjangkan hayat bateri dan meningkatkan kelajuan LTE. Platform mudah alih Snapdragon 660 dan 630 merangkumi Snapdragon 660 dan 630 SoCs, yang meliputi fungsi jalur asas, serta komponen perisian dan perkakasan termasuklah RF bahagian hadapan, Wi-Fi berintegrasi, pengurusan kuasa, pengekodan audio dan penguat pembesar suara, semuanya untuk menyokong penyelesaian mudah alih yang menyeluruh.
Snapdragon 660 dan 630 memfokus kepada 7 kategori:
-
Kamera
ISP kamera premium Qualcomm Spectra™ 160 menyokong peningkatan kualiti imej fotografi untuk tona kulit yang lebih semula jadi, fotografi kurang cahaya yang lebih bermutu, kecekapan kuasa yang lebih baik dan daya pemprosesan yang lebih tinggi untuk telefon pintar dua kamera. Ciri-ciri lain yang disokong termasuklah zum optikal yang lebih lancar, kesan bokeh, autofokus piksel duaan, dan penstabilan video kamkorder yang dipertingkatkan.
-
Pemprosesan Audio/Visual
Qualcomm® Hexagon™ 680 DSP yang menampilkan prestasi yang tinggi, pemprosesan kecekapan kuasa bagi pengimejan, visi komputer, dan beban kerja kepintaran mesin, lagi ciri-ciri baru dalam peringkat 600. Perpustakaan perisian yang optimum merangkumi sokongan untuk TensorFlow dan Halide. Teknologi ini menghasilkan generasi baru dari Qualcomm Technologies yang memberikan pengalaman kontekstual yang sentiasa lancar dan menggunakan kuasa yang sangat rendah.
-
Ketersambungan
Snapdragon 660 dan 630 menampilkan Modem Snapdragon X12 LTE yang menyokong kadar data menurun puncak sebanyak 600Mbps. Snapdragon 660 menyokong Wi-Fi 2×2 MU-MIMO 802.11ac untuk dua kali lebih pemprosesan data dan sehingga 60 peratus kurang penggunaan kuasa muat turun berbanding Snapdragon 652. Ia juga menawarkan liputan yang lebih baik, terutamanya di rumah, dan pejabat dengan dinding bata dan konkrit yang sukar ditembusi. Direka untuk mengoptimumkan secara dinamik kualiti isyarat dalam pelbagai keadaan pengguna untuk liputan rangkaian yang luas dan pengalaman data dan suara yang lebih konsisten. Kedua-dua cipset turut menampilkan sokongan untuk Bluetooth 5, yang menggandakan jumlah data yang boleh dipindahkan.
-
CPU dan GPU Yang Dipertingkatkan
Snapdragon 660 adalah pengganti Snapdragon 653 dan menampilkan peningkatan sebanyak 20 peratus dalam CPU Qualcomm® Kryo™ 260 serta 30 peratus dalam prestasi GPU Qualcomm® Adreno™ 512, memastikan pengalaman permainan video dan multimedia yang lebih baik untuk pengguna. Snapdragon 630 yang menggantikan Snapdragon 625, menawarkan peningkatan sebanyak 30 peratus dalam prestasi GPU Adreno 508 berbanding pendahulunya, serta 10 peratus peningkatan dalam prestasi CPU berbanding pendahulunya. Kedua-dua platform direka untuk menawarkan hayat bateri yang sangat baik.
-
Qualcomm® Quick Charge™ 4
Snapdragon 660 dan 630 menawarkan inovasi terkini dalam teknologi Quick Charge, yang menyokong sehingga 5 jam waktu bercakap dengan hanya 5 minit pengecasan dan sehingga 50 peratus hayat bateri dengan hanya 15 minit pengecasan.
-
Keselamatan
Kedua-duanya menyokong Qualcomm® Mobile Security, yang memberikan perlindungan memfokus kepada keselamatan terhadap perkakasan, pengecaman pengguna dan pengakuan peralatan pada peralatan mudah alih.
-
Pembelajaran Melalui Mesin
OEM dan para pemaju boleh menguasakan pengalaman pengguna yang imersif dan menarik dengan pembelajaran melalui mesin dengan Snapdragon 660 dan 630 menggunakan Enjin Pemprosesan Neural Snapdragon SDK. Rangka kerja perisian pelbagai ini menawarkan sokongan untuk Caffe/Caffe2 dan TensorFlow, memudahkan pengguna mensasarkan dan menggunakan rangkaian neural pada teras Snapdragon.
Snapdragon 660 dan 630 berkongsi seni bina modem dan kamera yang sama, serta serasi pin dan perisian. Kedua-duanya menggunakan proses 14nm FinFET dan memberikan rakaman video dan kebolehan main semula 4K, berserta memori maksimum sebanyak 8GB dan sokongan Vulkan API. Selain itu, Snapdragon 660 juga menyokong paparan sehingga resolusi QHD (2K), manakala 630 menyokong FHD/QXGA (1080p).
Sehingga kini, lebih daripada 1000 rekaan dalam Snapdragon 600 telah dilancarkan atau sedang dihasilkan. Snapdragon 660 kini sedang dalam penghantaran dan Snapdragon 630 akan mula dihantar pada hujung bulan ini.




