
Sony Berkemungkinan Akan Menyingkirkan Port Audio Untuk Model Premium Xperia
Rata-rata daripada pengguna sering mengkritik peranti keluaran Sony kerana sering menampilkan rekaan yang sama saban tahun dan tidak berdaya saing jika dibandingkan dengan pesaingnya yang lain. Menyedari permintaan peminat setia jenama ini yang mengharapkan satu pembaharuan pada rekaan fizikalnya, Pengarah Urusan Sony India iaitu Kenichiro Hibi sebelum ini pernah mengumumkan bahawa mereka bakal menampilkan rekaan baharu yang sepenuhnya untuk model premium Xperia pada masa akan datang.
Walaupun rekaan yang akan diguna pakai pada model premium Xperia ini masih lagi tidak didedahkan secara rasmi kepada umum, Sony berkemungkinan besar akan menyingkirkan port 3.5mm audio jack untuk merealisasikan rekaan baharu itu. Berita ini telah disahkan melalui paten yang telah dihantar oleh Sony ke Suruhanjaya Komunikasi Persekutuan (FCC) pada minggu ini, di mana imej yang diterima telah memperlihatkan penggunaan port USB untuk sambungan audio dan juga pengecas.
Berdasarkan kepada paten yang menggunakan nombor ID PY7-21831A itu juga, Sony dikatakan bakal tampil dengan peranti yang menyokong paparan skrin 5.7 inci yang berukuran 152.79 x 72.42mm. Ini membuktikan bahawa Sony merancang untuk memperkenalkan rekaan skrin hampir penuh dengan format paparan 18:9.
Sumber: XDADevelopers




