
Permainan ‘Animal Crossing: Pocket Camp’ Dari Nintendo Boleh Dimuat Turun Mulai 22 November Ini

Setelah beberapa kali permainan Animal Crossing: Pocket Camp telah ditunda tarikh pelancarannya, akhirnya ia telah disahkan boleh dimuat turun ke peranti Android dan iOS mulai 22 November 2017. Berita ini telah disahkan melalui perkongsian tweet rasmi Nintendo Amerika baru-baru ini. Berdasarkan tweet yang telah menerima hampir 8 ribu retweet itu, judul permainan mudah alih kedua dari Nintendo selepas Super Mario Run ini bakal dilancarkan pada kedua-dua platform peranti mudah alih itu secara serentak di seluruh dunia.

Animal Crossing: Pocket Camp merupakan permainan percuma yang menawarkan paparan grafik 3D yang mengkehendaki pemain untuk membina sebuah tapak perkhemahan yang lebih selesa. Dikelilingi oleh persekitaran alam semulajadi yang indah, anda perlu menukarkan tapak perkhemahan yang kosong itu dengan meletakkan perabot, peralatan dan juga kemudahan yang menarik untuk memastikan suasana yang lebih meriah.

