
Dua minggu yang lepas, Sony telah memperkenalkan sebuah kamera jenis Full-frame Mirrorless yang akan dibawa masuk ke pasaran Malaysia pada bulan ini iaitu Sony a7R III.
Ada berita baik buat yang berminat, kerana Sony Malaysia telah membuka pra-tempahan Sony a7R III dengan harga bermula RM14,888. Pra-tempahan ini dibuka sehingga 3 Disember 2017 dan akan dihantar kepada pengguna bermula 18 Disember 2017.
Sony a7R III menawarkan resolusi 42.2 Megapiksel dan sensor Exmor R CMOS serta turut menyokong rakaman berterusan sehingga 10fps bersama autofokus penuh.
Imej juga lebih menonjol dengan adanya sokongan video 4K di samping fungsi pengurangan noise. Pemproses BIONZ X membolehkan kamera ini mengambil gambar lebih cepat di mana-mana persekitaran terang atau gelap melalui fungsi ISO 100-32000.
Memiliki 425 poin autofokus berbanding 400 poin pada Sony a7R II, ia membolehkan gambar di bawah cahaya malap diambil 2 kali lebih pantas dan lebih efisyen.

