
Sony yang terkenal dengan kamera jenis Full-frame Mirrorless mengumumkan mereka akan membawa masuk sebuah model terbaru ke pasaran Malaysia yang diberi nama a7R III.

Kamera ini mempunyai badan yang kompak dengan isi dalaman yang begitu mantap. Gabungan resolusi tinggi 42.2 Megapiksel dan sensor Exmor R CMOS kini menyokong rakaman berterusan sehingga 10fps bersama autofokus penuh.
Imej lebih menonjol dengan adanya sokongan video 4K di samping fungsi pengurangan noise. Pemproses BIONZ X membolehkan kamera ini mengambil gambar lebih cepat di mana-mana persekitaran terang atau gelap melalui fungsi ISO 100-32000.

Memetik gambar kini tidak lagi bising oleh kerana Sony telah meletakkan low-vibration shutter supaya gegaran serta bunyi dapat dikurangkan serta merta. Ia kini memiliki 425 poin autofokus berbanding 400 poin pada Sony a7R II yang terdahulu. Sekaligus membolehkan gambar di bawah cahaya malap diambil 2 kali lebih pantas dan lebih efisyen.
Kamera ini dilengkapi penstabilan imej 5-paksi ditala untuk menyokong rakaman beresolusi tinggi dengan 5.5 kelebihan kelajuan shutter. Untuk memudahkan pengguna, ia hadir dengan dua slot kad SD, bateri tahan lama, dan sambungan SuperSpeed USB Type-C.

Kamera bersaiz kompak yang seberat 657g berkeupayaan tinggi ini direka khusus buat mereka yang profesional dalam bidang fotografi, videografi, dan pembikin multimedia. Pihak Sony masih belum memaparkan tanda harga bagaimanapun Sony a7R III akan mula dijual dalam bulan ini.

