
Bulan lepas Apple iPhone 8 dan iPhone 8 Plus telah dibawa masuk ke Malaysia. Bagaimanapun, pada hari ini Apple Malaysia mengumumkan bahawa peranti yang ditunggu-tunggu iPhone X akan mula dipasarkan di pasaran tempatan pada 24 November depan.

Dikatakan, ramai diantara peminat iPhone tidak mengendahkan iPhone 8 sebaliknya tidak sabar menanti kehadiran iPhone X. Tetapi, bagaimana pula dengan harga yang akan dijual oleh Apple Malaysia?
Jika anda sanggup membelanjakan wang sebanyak RM5,149 untuk iPhone X, anda cuma mendapat storan sebesar 64GB sahaja. Jika storan ini masih kecil dan tidak mencukupi, tidak mengapa kerana iPhone X 256GB dijual pada harga RM5,899 iaitu RM750 lebih mahal.

iPhone X dihasilkan bersempena ulangtahun iPhone yang ke-10 dan peranti ini hadir dengan fizikal luaran yang tidak sama seperti iPhone sebelumnya. Terdapat sebuah skrin hampir penuh bersaiz 5.8 inci bucu-ke-bucu pada kerangka badan gelas tahan lasak ini.
Modul dwi kamera di belakang pula kini diposisikan secara menegak tidak seperti iPhone 8 yang diletakkan secara melintang. Menggunakan cip pemproses berkuasa A11 Bionic, peranti ini juga tidak lagi menggunakan TouchID sebaliknya digantikan dengan FaceID. Ianya sebuah sistem keselamatan yang boleh membuka kekunci peranti atau pembayaran Apple Pay hanya menggunakan wajah.

Ciri ini juga turut menyokong Animoji pada iMessage membolehkan pengguna menggunakan karakter animasi menerusi mimik muka untuk dihantar kepada kenalan.
iPhone X akan mula dijual di pengedar sah Apple Malaysia bermula 24 November ini dengan harga RM5,149 untuk 64GB manakala RM5,899 untuk 256GB.

