
Honor 8 Kini Didedahkan Secara Rasmi Dengan Sokongan Kirin 950
Setelah pelbagai maklumat awal dan juga ketirisan berkaitan Honor 8 di laman sesawang, akhirnya segala teka-teki telah terjawab apabila Honor telah mengadakan pendedahan rasmi model itu yang bertempat di China.
Panel depan Honor 8 mempersembahkan paparan skrin jenis 2.5D sebesar 5.2 inci beresolusi 1280 x 1920 piksel dan juga kamera selfie beresolusi 8 Megapiksel. Manakala panel belakangnya tampil lebih menarik kerana dilengkapi dengan dua buah lensa kamera beresolusi 12 Megapiksel yang dibantu oleh auto fokus jenis Laser dan juga Aperture f/2.2, sama seperti yang dapat dilihat pada model Honor V8 sebelum ini.
Dari segi sokongan spesifikasi lain pula, Honor 8 tidak mengecewakan kerana ia telah dikuasakan dengan pemproses Octa Core dari HiSilicon Kirin 950 dan juga cip pemproses grafik Mali-T880 MP4. Berdasarkan pendedahan yang telah dibuat, Honor 8 telah diperkenalkan dalam tiga varian berbeza iaitu 32GB/3GB RAM, 32GB/4GB RAM dan juga 64GB/4GB RAM. Selain itu ia juga turut disediakan dengan slot kad hibrid yang boleh menyokong kad microSD mencecah sehingga 128GB.
Honor 8 akan dilancarkan secara rasmi pada 19 Julai ini dan buat masa ini Vmall China sudahpun menerima pendaftaran pra-tempahan dengan harga jualan USD299 (kira-kira RM1,195) untuk model 32GB/3GB RAM, USD343 (kira-kira RM1,370) untuk model 32GB/4GB RAM, dan USD374 (kira-kira RM1,495) untuk model 64GB/4GB RAM.
Terdapat lima pilihan warna diperkenalkan iaitu Pearl White, Sunrise Gold, Midnight Black, Sakura Pink dan juga Sapphire Blue.