
Pengguna Uber Di Singapura Dakwa Menjadi Mangsa Penipuan Transaksi

Beberapa pengguna perkhidmatan Uber di negara jiran iaitu Singapura, mendakwa telah menjadi mangsa penipuan transaksi untuk tunggangan yang tidak pernah mereka gunakan. Apa yang lebih menguatkan lagi dakwaan itu, mata wang transaksi yang telah dicaj terdiri daripada pelbagai bank berbeza dan melibatkan mata wang asing seperti USD, Euro dan juga Pound.
Antara mangsa yang terlibat dengan penipuan transaksi ini termasuklah Daphne Maia Loo, apabila merasakan seperti ada yang tidak kena setelah melihat baki penyata banknya selepas mengeluarkan wang dari mesin ATM. Malah dia turut berkongsi screenshot penyata akaun bank miliknya di laman sosial yang memperlihatkan sebanyak 15 transaksi berasingan berjumlah £154 (kira-kira RM846) telah dikenakan oleh Uber pada kad debit OCBC miliknya.

Di dalam kejadian yang berasingan, seorang pengguna Uber di Singapura yang tidak mahu didedahkan identitinya turut mengesahkan kejadian yang sama telah berlaku pada dirinya pada hari Ahad yang lepas. Menurutnya, terdapat lebih 30 transaksi yang tidak sah telah dibuat bermula 13 November yang lalu dan melibatkan kehilangan wang sebanyak SGD1,300 (kira-kira RM3,927). Manakala seorang lagi mangsa yang juga tidak mahu didedahkan identitinya turut mengesahkan kerugian sebanyak SGD92 (kira-kira RM277) yang telah dikenakan pada kad kredit Citibank miliknya.

Berdasarkan kepada laporan yang diterima, kesemua kes penipuan transaksi perkhidmatan Uber itu merupakan pemegang akaun yang telah memasukkan butiran kad kredit atau debit untuk perkhidmatan tersebut. Menurut Channel News Asia, laporan sebegini bukan kali pertama terjadi di negara itu, malahan kes sebegini juga pernah terjadi pada pengguna Uber di London yang telah menerima caj transaksi ‘penunggang hantu’ di Mexico dan New York.
Menjawab pertanyaan Channel News Asia, jurucakap Uber telah memaklumkan bahawa pihaknya sedang berusaha untuk mengkaji insiden ini dan akan memberi maklum balas yang sewajarnya. Tambahnya lagi, sekiranya pengguna percaya bahawa maklumat pembayaran mereka telah dicuri dari perkhidmatan yang lain dan digunakan pada Uber, mereka perlu menghubungi pihak bank secepat mungkin untuk tindakan selanjutnya. Mangsa penipuan juga boleh terus menghubungi pasukan sokongan Uber untuk bantuan menetapkan semula kata laluan pengguna dan Uber akan membayar semula transaksi untuk perjalanan yang tidak sah itu.
Sumber : Channel News Asia

