Grab Menerbitkan Laporan ESG Pertama; Mengumumkan Inisiatif Untuk Mengurangkan Jejak Karbon

Grab, superapp terkemuka di Asia Tenggara, hari ini mengumumkan inisiatif-inisiatif baru yang mengukuhkan komitmennya untuk mengurangkan pelepasan karbon dan jejak persekitaran syarikatnya. Para pengguna Grab tidak lama lagi boleh mengurangkan jejak karbon mereka apabila membuat perjalanan menggunakan Grab menerusi ciri pengimbangan karbon (carbon offset) yang mudah digunakan di dalam aplikasi tersebut. Grab dan Hyundai Motor Group juga akan melancarkan program rintis Kenderaan Elektrik (EV) baru agar pemilikan EV lebih mampu milik dan mudah diakses,  di samping bersama-sama membangunkan pelan tindakan untuk memacu penggunaan EV di Asia Tenggara.

Inisiatif terbaru ini diumumkan sempena penerbitan Laporan Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus Korporat (ESG) tahunan Grab yang pertama, yang menggariskan komitmen syarikat itu dalam usaha pemerkasaan sosioekonomi, pemeliharaan alam sekitar, dan menjana prestasi kewangan yang kukuh.

Dalam satu kaji selidik ke atas pengguna Grab di enam negara Asia Tenggara, 82% responden berkata mereka bimbang tentang isu perubahan iklim dan mengambil beberapa tindakan bagi mengurangkan jejak karbon mereka[1]. Di antara mereka yang bimbang tentang isu perubahan iklim tetapi tidak mengambil tindakan. 44% menyatakan bahawa mereka tidak tahu bagaimana, dan 31% merasakan bahawa terlalu sukar untuk mengambil tindakan.

Ciri pengimbangan karbon Grab yang baru[2] akan dilancarkan di Indonesia, Malaysia dan Thailand pada bulan Julai sebelum dilancarkan ke seluruh Asia Tenggara akan membolehkan para pengguna membeli pengimbangan karbon pada harga kurang dari AS$0.10 untuk setiap perjalanan. Amaun tersebut akan digunakan untuk membiayai projek-projek pemuliharaan dan penanaman semula hutan oleh pertubuhan bukan kerajaan. Grab telah bekerjasama dengan EcoMatcher, sebuah Syarikat B yang diperakui, untuk berganding bahu dengan yayasan dan NGO yang diiktiraf bagi menanam pokok. Para pengguna di negara-negara ini akan menerima sebatang pokok yang dikhususkan untuk mereka apabila mereka menyempurnakan sejumlah perjalanan karbon neutral yang telah ditetapkan. 

Menerusi EcoMatcher, para pengguna Grab boleh berkunjung ke lokasi di mana pokok mereka ditanam secara maya, menamakan pokok mereka, melihat foto pokok mereka yang baru ditanam, dan mempelajari lebih banyak lagi mengenai peladang yang menanam pokok mereka. Selain itu, pengguna Grab di Malaysia juga dapat menanamkan sebatang pokok melalui EcoMatcher dengan menggunakan mata GrabRewards mereka dari akhir bulan Jun.

You might also like