Nokia 2 Diumumkan Dengan Paparan 5 Inci Dan Bateri 4,100mAh

HMD Global hari ini menambah barisan telefon pintarnya dengan memperkenalkan Nokia 2. Peranti ini hadir dengan spesifikasi kelas permulaan yang menggunakan cip pemproses Qualcomm Snapdragon 212 serta sistem operasi Android asli.

Telefon pintar ini dimuatkan dengan kapasiti bateri yang besar iaitu 4,100mAh yang mampu menyediakan masa bermain sehingga 10 jam. Manakala untuk mengecas semula ia menggunakan sambungan microUSB dan tidak menyokong pengecasan pantas.

Nokia 2 dilengkapi dengan kamera utama 8 Megapiksel dan kamera depan 5 Megapiksel yang disokong RAM 1GB dan storan 8GB yang boleh diperluaskan melalui kad microSD.

Walaupun perkakasan yang disediakan berspesifikasi rendah tetapi kerangka badan Nokia 2 dibina kalis percikan air IP52. Peranti ini hadir dengan tiga pilihan warna iaitu Copper, Black, dan White.

Nokia 2 didatangkan dengan Android Nougat terus dari kotak dan pada masa akan datang Android Oreo boleh dikemas kini. Nokia 2 akan dilancarkan pada pertengahan bulan ini dan ditawarkan pada harga €99 (sekitar RM488) seunit. Sementara, untuk pasaran Malaysia ia masih belum diumumkan.

You might also like