

Digi hari ini telah menandatangani satu perjanjian yang melantik rangkaian pembayaran dalam talian MOLPay dan iPay88 sebagai rakan kongsi untuk vcash iaitu perkhidmatan pembayaran mudah alih. Di bawah perjanjian ini, vcash akan menyediakan pilihan pembayaran untuk pengguna di bawah rangkaian pembayaran MOLPay dan iPay88.

Ia membolehkan pelanggan berurusan dengan peniaga hanya menggunakan vcash di kedai online di seluruh negara. vcash adalah aplikasi pembayaran mudah alih yang mudah digunakan untuk membayar, menghantar, meminta dan menyimpan wang. Perkhidmatan ini tersedia untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira pengendali telkom.
Kerjasama dengan MOLPay dan iPay88 ini dikatakan akan menarik lebih ramai rakyat Malaysia untuk memulakan transaksi vcash tanpa menggunakan kad debit atau kad kredit. Secara tidak langsung, ia akan membuka satu gerbang pembayaran utama di Malaysia kelak. Malah, tidak lama lagi peniaga terkemuka seperti Lazada, 11street, dan lain-lain turut akan menyertai platfom e-Wallet vcash.

Dari segi keselamatan, ia setaraf dengan sistem perbankan termasuk dari segi pembayaran urus niaga, deposit wang tunai, serta penghantaran wang kepada rakan dan keluarga selain pemindahan dana peer-to-peer (P2P). Urusan P2P dan ePayment adalah percuma untuk semua pengguna.

vcash boleh digunakan dengan mudah secara online atau offline. Pengguna hanya perlu memuat turun aplikasi ini secara percuma di Play Store atau App Store. Seterusnya tetapkan profil dan mendepositkan wang ke dalam akaun. Selepas itu, imbas kod QR di kaunter pembayaran untuk melakukan transaksi. Bagaimanapun, setiap urus niaga memerlukan kebenaran PIN atau cap jari untuk tujuan keselamatan.
Untuk mendepositkan wang ke dalam aplikasi vcash, pengguna boleh pergi ke kedai Digi untuk memasukkan wang tunai di kaunter, atau perbankan dalam talian melalui FPX atau JOMpay.
Bagi pendapat kami, pembayaran mudah alih vcash sangat efisyen kerana kita tidak lagi memerlukan wang kertas untuk transaksi. Jadi tidak perlu lagi buang masa untuk korek poket nak dapatkan duit syiling bukan?


