
Masih ingat sebelum ini eRing ada berkongsi mengenai ASUS akan memperkenalkan peranti pertama mereka yang dilengkapi paparan FullView Display 18:9 pada bulan November yang lalu? Hari ini, peranti yang diberi nama ASUS ZenFone Max Plus (M1) ini telah dilancarkan secara rasmi, bertempat di MBO The Starling Mall.
Sepertimana yang kita tahu, ZenFone Max Plus (M1) tampil dengan saiz peranti 5.2 inci, namun dengan paparan FullView Display ia mampu membekalkan ukuran paparan skrin yang jauh lebih besar sehingga 5.7 inci yang beresolusi HD 1440 x 720 piksel. Panel gelas 2.5D pada kerangka logam premium menjanjikan rasa pegangan yang cukup selesa terutamanya bagi golongan wanita.
Kebanyakan siri ZenFone 4 hadir dengan dwi lensa kamera, tidak kurang juga pada ZenFone Max Plus (M1). Kamera utama dibekalkan dengan sensor 16 Megapiksel bersama sokongan f/2.0 aperture, 0.03s PDAF, dan 8 Megapiksel lensa sudut lebar 120° yang mampu menghasilkan gambar menarik di mana anda boleh memuatkan lebih banyak pemandangan atau orang dalam setiap gambar atau video yang diambil.
Bagi kamera depan pula, lensa 16 Megapiksel turut dibekalkan bersama f/2.0 aperture dan ciri-ciri menarik seperti Selfie Master yang sebelum ini turut serta dalam siri ZenFone 4 Selfie. Teknologi PixelMaster tampil dengan 8 jenis mod penggambaran, seperti mod Auto, Pro, Beauty, Super Resolution, GIF Animation, Panorama, Selfie Panorama dan Time Lapse. Setiap satunya akan memberikan pengalaman bergambar yang cukup menakjubkan.

Sehebat mana pun, kapasiti bateri sering menjadi perbualan antara penggunanya. Jadi, dalam kerangka logam ZenFone Max Plus (M1) ini telah memuatkan sebuah bateri berkapasiti tinggi iaitu 4,130mAh. Selain itu, sokongan pengecasan pantas 10W (5V/2A) mampu mengecas penuh peranti dalam 3 jam sahaja.
ZenFone Max Plus (M1) dilengkapi dengan Triple slot kad yang terdiri daripada dua slot kad SIM dan satu slot kad microSD yang menyokong storan sehingga 256GB. Peranti yang berasaskan Android 7.0 Nougat ini menggunakan pemproses MediaTek MT6750T di bawah 4GB RAM dan 32GB ROM.
Versi terkini antaramuka ASUS ZenUI direka untuk memberikan pengalaman yang lebih intuitif dan produktiviti. Ciri baru Face Unlock turut disediakan menjadikan peranti baru ini lebih selamat dan mudah digunakan.
Bagi anda yang berminat, boleh dapatkan ASUS ZenFone Max Plus (M1) dengan harga jualan RM 899 (gift bundle bernilai RM99 akan diberikan selagi stok masih ada) bermula minggu depan. ASUS juga memberikan tawaran Trade-in di kedai-kedai sah dengan potongan harga sebanyak RM200 bagi sebarang smartphone yang tidak digunakan lagi.
Laman e-dagang Lazada juga memberikan baucer sebanyak RM200 untuk setiap pembelian peranti ini bermula 14hb sehingga 19hb Disember 2017.

:: Spesifikasi ::
- Android 7.0 Nougat / ZenUI 4.0
- MediaTek MT6750T Octa-core 1.5GHz
- ARM Mali-T860
- 32GB ROM / 4GB RAM
- Bateri 4,130mAh
- 5.7 inci 1440 x 720 piksel
- 152.6 x 73 x 8.8mm / 160g
- Kamera utama: 16MP + 8MP / f/2.0 Aperture / 0.03s PDAF / LED Flash
- Kamera depan: 16MP / lensa sudut lebar 120°
- Rakaman video 1080p HD Penuh
- Triple Slot: 2 Slot Nano SIM / 1 Slot microSD
- Pengimbas Cap Jari (0.3s) / USB-OTG / Bluetooth 4.0 / Micro USB

