

Seperti yang diketahui, pra-tempahan untuk iPhone 8 dan iPhone 8 Plus bermula pada harga RM3,649 sehingga RM4,899 sebuah. Kini, laman rasmi Apple Malaysia berkongsi pula harga bagi iPhone X. Bagi anda peminat tegar, peranti tercanggih Apple 2017 ini dijual pada harga di atas RM5 ribu seunit.
Harga yang dicadangkan ini jauh lebih mahal berbanding iPhone 8 Plus berkapasiti 256GB. Untuk versi 64GB, iPhone X dijual dengan tanda harga RM5,149 manakala versi 256GB pula berharga RM5,899. Sekaligus, ia menjadikan iPhone X adalah yang termahal pernah dijual oleh Apple.

iPhone X edisi terhad ini membawakan beberapa ciri ‘baharu’ seperti imbasan wajah FaceID, paparan penuh True Tone, sokongan kalis air, kerangka panel gelas, pengecasan pantas dan tanpa wayar serta cip paling berkuasa A11 Bionic.
Setakat ini, Apple Malaysia belum lagi menyertakan tarikh keberadaan iPhone X di pasaran tempatan.

