Teknologi Hyper Boost Dari OPPO Bakal Dilancarkan Pada Telefon Pintar Keluarannya!

Sebelum ini Huawei telah popular dengan teknolog GPU Turbo berasaskan perisian yang mampu mempertingkatkan prestasi gaming pada peranti keluarannya. Terbaru, OPPO pula bakal mengikut jejak langkah Huawei dengan memperkenalkan teknologi yang dipanggil Hyper Boost untuk melancarkan pengoperasian telefon pintar keluarannya.

Dibangunkan sendiri oleh OPPO, teknologi Hyper Boost ini dikatakan mampu menjanjikan pengoperasian yang jauh lebih baik kerana ia akan mengoptimumkan prestasi untuk tiga aspek utama iaitu sistem, permainan dan juga aplikasi. Pada peringkat enjin sistem, OPPO telah membangunkan sokongan penjadualan-perilaku bebas (BAS) yang lebih dinamik iaitu hanya 0.2 milisaat, berbanding 20 milisaat sebelum ini.

Bagi enjin permainan pula, OPPO juga telah bekerjasama dengan Tencent, Netease dan beberapa pembangun enjin permainan popular yang lain untuk mengoptimumkan 100 judul permainan mudah alih. Setakat ini, sebanyak 11 judul permainan telah diintegrasikan dengan teknologi Hyper Boost untuk pengalaman permainan yang lebih lancar. Manakala untuk enjin aplikasi pula, teknologi Hyper Boost akan memastikan kelancaran pengoperasian aplikasi sosial popular seperti WeChat.

You might also like