vivo V7+ Adalah Yang Pertama Menggunakan Kamera Depan 24MP!

Vivo kini bergerak pantas membina nama di persada dunia, lihat sekeliling anda namanya gah terpampang di dinding-dinding kedai, di tepi-tepi jalan raya, malah di dalam pengangkutan awam sekalipun. Berbaki satu minggu lagi, vivo akan mengadakan satu acara besar-besaran di Kuala Lumpur bagi melancarkan satu produk baru.

Apa yang ingin diperkenalkan ialah vivo V7+, sebuah telefon pintar pertama vivo yang hadir dengan paparan FullView Display. Persembahan kali ini telah membuang butang di depan yang mana sebelum ini tidak pernah dilakukan oleh vivo.

Bukan itu sahaja, vivo juga telah meletakkan kamera depan dengan sensor yang besar iaitu sebanyak 24 Megapiksel. Ini sekaligus menjadikan ia yang pertama di dunia mengenakan sensor seumpanya di telefon pintar.

Kamera depan ini juga menawarkan ciri Selfie Softlight yang dapat melaras cahaya secukupnya bagi menghasilkan gambar yang jelas dan terselah. Selain itu, ciri Group Selfie pula ditugaskan untuk merakam setiap senyuman pada lensa tanpa meninggalkan atau menyingkirkan rakan-rakan di sebelah anda. Kehadiran aperture f/2.0 pula dapat membantu gambar diambil dalam persekitaran yang gelap tanpa sebarang isu.

Sementara itu, pengalaman fotografi menggunakan kamera belakang masih memberikan kualiti yang baik – terima kasih pada sensor 16 Megapiksel dengan sokongan PDAF. Di samping itu, rakaman video lebih mengasyikkan dengan adanya ciri HDR dan video 1080p pada 30fps.

vivo V7+ yang dilengkapi dengan cip pemproses Snapdragon 450 Octa-core (1.8GHz Cortex-A53), RAM 4GB, ruang storan 64GB dan paparan hampir penuh 5.99 inci ini akan dilancarkan secara rasmi pada 26 September depan di Pavilion, Kuala Lumpur.

You might also like