
LG Memperkenalkan Vision AI – Memantapkan Lagi Ciri Kamera Pada Peranti LG
LG Electronics bakal memperkenalkan teknologi AI mereka sendiri di MWC 2018 hujung bulan ini. Teknologi terbaru ini bakal diperlihatkan oleh LG pada peranti terbaru mereka LG V30 versi 2018.

Ciri kecerdasan buatan (AI) telah dibangunkan untuk memberi pengalaman baru kepada para pengguna di seluruh dunia. Ciri yang dinamakan Vision AI bakal memudahkan pengguna dalam menggunakan fungsi kamera – ciri yang lebih kurang seperti yang terdapat pada cip Huawei Kirin 970.
LG yang terkenal dengan keupayaan kamera sudut lebarnya dalam masa sama akan menjadi lebih menarik dengan adanya Vision AI. Fungsi ini mampu menganalisa objek dan mencadangkan kepada sistem untuk menggunakan mod yang lebih sesuai. Misalnya, pengguna menghalakan lensa kamera pada makanan seperti pasta, warna akan menjadi lebih kekuningan dan ditajamkan untuk imej yang lebih terperinci. Algortima yang dibangunkan juga mampu membaca dan mengenalpasti lebih daripada 100 juta imej.
Selain itu, pengguna yang sedang membeli-belah juga boleh menggunakan Vision AI dengan menghalakan kamera pada barangan tersebut. LG Vision secara automatik akan mengimbas kod QR dan memberi pilihan termasuk dimana ia boleh dibeli pada harga terendah.

Ciri penggambaran di waktu malam lebih jelas dengan Vision AI kerana teknologi ini akan mengukur tahap pencahayaan mengikut persekitaran sekitar. Sekaligus, menjadikan gambar di waktu malam lebih jelas dan terang.
Disamping aspek penggambaran, LG juga menampilkan fungsi arahan suara yang membolehkan pengguna memberi arahan suara untuk mengaktifkan aplikasi dan tetapan. Ia dibantu oleh Google Assistant yang menawarkan 32 arahan suara eksklusif berbanding 23 arahan pada 2017.
Jadi untuk tahun 2018, pengguna yang masih berminat untuk mendapatkan peranti LG, anda boleh menikmati ciri ini kelak.

