Ikuti Langkah-Langkah Ini Untuk Mengelakkan Bil Melambung Semasa Melakukan Ibadah Haji

Setiap tahun pasti segelinitr diantara kita umat Islam di Malaysia menunaikan ibadah haji atau umrah. Setakat ini sahaja, sejumlah 30,200 orang telah mendaftar dan bersedia untuk diterbangkan ke Mekkah malah penerbangan pertama sudahpun selamat mendarat pada minggu lepas.

Apabila berjauhan, pasti ada yang merindui keluarga lalu keperluan internet itu menjadi perkara yang penting sekali untuk berhubung. Namun, pengguna perlu memahami bagaimana caj panggilan akan dikenakan ketika berada di luar negara oleh syarikat telekomunikasi tempatan. Oleh itu, Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM) ingin berkongsi tips perayauan antarabangsa yang boleh dijadikan panduan semasa berada di sana.

TIPS 1: Rujuk Penyelia Perkhidmatan anda sebelum memulakan perjalanan ke luar negara.

Ini adalah untuk memastikan anda mendapat maklumat yang tepat mengenai caj yang akan dikenakan. Anda tidak akan dikecualikan daripada membayar caj tersebut walaupun anda benar-benar tidak tahu.

TIPS 2: Buat salinan semua kenalan dan data penting dalam telefon anda sebelum meninggalkan Malaysia.

Ini adalah sebagai langkah keselamatan sekiranya anda kehilangan telefon ketika berada di sana. Anda juga boleh memuatnaik maklumat penting ini dan menyimpannya di dalam storan atas talian capaian mudah dari mana sahaja

TIPS 3: Elak guna dua kad SIM dalam satu telefon.

Anda tidak digalakkan menggunakan cara ini. Gunakan telefon bimbit yang lain bagi setiap kad SIM. Anda juga disarankan agar membawa telefon bimbit kedua bagi penggunaan kad SIM tempatan untuk menerima atau membuat panggilan penting ketika berada di Tanah Suci. Manakala telefon pintar boleh digunakan untuk sambungan Wi-Fi sahaja.

TIPS 4: Beli kad SIM antarabangsa yang dijual di Malaysia melalui dalam talian atau di Lapangan Terbang.

Terdapat kad SIM antarabangsa yang dijual di Malaysia yang mungkin mempunyai pakej yang memenuhi keperluan anda selain dapat mengurangkan kerumitan anda untuk mendaftar kad SIM semasa di luar negara.

TIPS 5: Dapatkan kad SIM tempatan sebaik tiba di Arab Saudi sebagai alternatif untuk mendapatkan pilihan yang lebih murah.

Lakukan sedikit kajian mengenai pelan yang disediakan di sana, dan pilih kad SIM yang terbaik serta sesuai dengan penggunaan anda sepanjang berada di sana.

TIPS 6: Nyahaktifkan “Sambungan Automatik ke Rangkaian”.

Kebanyakan penyelia perkhidmatan di Malaysia mempunyai rakan perayauan antarabangsa di semua negara yang anda lawati dan biasanya mereka menyediakan pakej khas kadar rata bagi panggilan suara dan data apabila anda disambungkan kepada mereka. Nyahaktifkan “SAMBUNGAN AUTOMATIK KE RANGKAIAN” dan pastikan anda sentiasa disambungkan kepada rakan perayauan penyelia pekhidmatan anda untuk menikmati pakej khas ini

TIPS 7: Tukar mod “Airplane” atau “Kapal Terbang” dan gunakan Wi-Fi.

Jika anda ingin terus berhubung hanya menggunakan Wi-Fi, anda boleh memilih untuk menukar mod telefon pintar anda ke mod “AIRPLANE” atau “KAPAL TERBANG” dan gunakan Wi-Fi awam yang anda boleh dapati di sana.

TIPS 8: Gunakan aplikasi seperti WhatsApp ketika menerima panggilan semasa berada di luar negara

Jika anda hanya mahu menerima panggilan dan SMS semasa berada di luar negara, anda boleh memilih untuk menggunakan aplikasi seperti “WhatsApp Call/Video Call” dan gunakan Wi-Fi sahaja.

Mengikut rekod CFM, teradapat peningkatan ketara setiap tahun bagi jumlah aduan mengenai perayauan antarabangsa. Walaubagaimanapun, pada tahun ini jumlah itu telah berkuarangan disebabkan syarikat-syarikat telco kini menawarkan pelan perayauan yang lebih murah dan mudah untuk digunakan.

Sebarang pertanyaan, pengguna boleh terus menghubungi talian bebas tol CFM 1-800-18-2222 atau emel dan layari laman sesawang rasmi CFM.

You might also like