Jaybird Kini Diperkenalkan Di Malaysia Dengan Dua Model Iaitu X3 Dan FREEDOM

Funsportz Sdn. Bhd. yang dilantik sebagai pengedar rasmi jenama Jaybird di negara ini telah memperkenalkan dua model terbaru fon telinga sukan tanpa wayar generasi terbarunya iaitu X3 dan juga FREEDOM. Dengan menggunakan sambungan Bluetooth v4.1, kedua-dua fon telinga ini turut menyokong fungsi kalis peluh yang sangat sesuai ketika bersenam ataupun menjalankan aktiviti luar yang lasak.

Pengguna juga boleh memuat turun aplikasi Jaybird bagi membolehkan tetapan audio dibuat berdasarkan kepada corak pendengaran masing-masing. Malah setiap profil bunyi yang telah dibuat juga boleh terus disimpan ke dalam set kepala X3 mahupun FREEDOM. Jadi tidak kira apa jua jenis peranti muzik yang disambungkan ataupun servis muzik yang anda dengari, profil bunyi itu akan sentiasa diaktifkan tanpa perlu membuat tetapan semula.

Jaybird X3 Wireless Sport Headphones dijual pada harga RM669 dalam empat warna pilihan iaitu Blackout (Black), Sparta (White), Roadrash (Red) dan juga Alpha (Green). Manakala Jaybird FREEDOM Wireless Headphones pula dijual pada harga RM699 dalam empat warna iaitu Carbon (Black), Gold, Blade (Red) dan Ocean (Blue). Kedua-dua model ini sudahpun boleh dimiliki melalui pengedar rasmi di seluruh negara dan juga laman membeli-belah popular Lazada.

Jaybird X3 Wireless Sport Headphones :

Siri X terbaru keluaran Jaybird iaitu X3 berupaya menghasilkan bunyi yang lebih berkuasa dengan sokongan pemacu audio 6mm dalam rekaan yang lebih kecil. Ini sekaligus menjadikannya sebagai siri X yang pertama sesuai dipakai bersama-sama dengan helmet. Lebih menariknya, sokongan Bluetooth v4.1 membolehkan anda untuk menyambungkan X3 ke dua peranti berbeza secara serentak. X3 menawarkan ketahanan bateri sehingga 8 jam.

Jaybird FREEDOM Wireless Headphones :

Fon kepala FREEDOM pula telah menampilkan gabungan antara rekaan sofistikated yang bergaya, bunyi yang berkualiti dan juga keselesaan ketika dipakai. Keunikan FREEDOM adalah rekaan buds bersaiz mikro yang diperbuat daripada logam. Pengguna ditawarkan sehingga 4 jam masa penggunaan dengan bateri terbina-dalam yang terdapat dalam FREEDOM, tetapi ianya boleh dipanjangkan lagi masa penggunaannya sehingga 4 jam masa tambahan dengan sokongan klip pengecas yang tersedia dalam pakej pembelian.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman sesawang rasmi Jaybirdsport Malaysia atau Funsportz Malaysia

You might also like