Huawei Nova 2 Plus Dijual Di Pasaran Malaysia Pada Harga RM1,999

Huawei Malaysia secara rasminya telah membawa masuk peranti yang ditunggu-tunggu, Nova 2 Plus. Telefon pintar ini juga ditawarkan pada harga RM1,999 termasuk GST yang boleh dibeli di kedai-kedai terpilih seluruh Malaysia bermula hari ini.

Peranti ini dilengkapi dengan skrin LCD berukuran 5.5 inci 1080p (~401ppi) berasaskan Android 7.0 Nougat dan EMUI 5.1 terus dari kotak. Pengalaman swafoto kini dinaik taraf menggunakan kamera depan 20 Megapiksel dan rakaman landskap pada kamera belakang hadir dengan dwi kamera 12 dan 8 Megapiksel autofokus pengesanan fasa (PDAF), serta kebolehan mengambil gambar bokeh.

Perkakasan dalaman dikuasakan oleh pemproses HiSilicon Kirin 659 Octa Core dan grafik Mali-T830 MP2, disamping RAM 4GB dan storan seluas 128GB. Jika ruang masih tidak mencukupi, peranti ini juga menyediakan slot hibrid microSD yang boleh digunakan juga sebagai slot SIM yang kedua.

Bateri yang dimuatkan pula berkapasiti 3,340mAh juga menyokong pengecasan pantas. Ciri lain yang terdapat, fungsi Wi-Fi 802.11 b/g/n, Bluetooth v4.2, GPS, GLONASS, USB Type-C dan pengimbas cap jari di belakang.

Huawei menawarkan Nova 2 Plus dalam pilihan warna Aurora Blue, Streamer Gold dan Obsidian Black.

You might also like