Meizu Pro 7 & Pro 7 Plus Dilancarkan ~ 2 Paparan AMOLED, 2 Lensa Sony, Helio X30

Sebelum ini kita telah melihat pelbagai ketirisan mengenai produk terbaru dari Meizu. Terkini, mereka baru sahaja melancarkan Meizu Pro 7, malah bukan itu sahaja terdapat satu lagi varian yang dipertontonkan. Sekaligus, menjadikan dua model Meizu Pro 7 dan Pro 7 Plus sebagai barisan flagship pada tahun ini.

Dimulakan dengan paparan depan, kedua-dua model disediakan skrin Super AMOLED bersaiz 5.2 inci (1080p) dan 5.7 inci (QHD 2K). Apa yang menarik lagi, di bahagian belakang terdapat paparan sekunder AMOLED berfungsi untuk menerima notifikasi dan memudahkan pengguna mengambil gambar.

Dalam masa yang sama, kamera belakang kini diperhebatkan dengan dua lensa 12 Megapiksel dari Sony IMX386, salah satunya ditugaskan merakam gambar hitam putih dan berwarna. Bantuan aperture serendah f/2.0 pula memastikan prestasi penggambaran di dalam keadaan malap tidak terjejas. Meizu juga tidak melupakan kamera depan, ia kini dibekalkan dengan lensa 16 Megapiksel.

Perkakasan dalaman pada kedua-dua varian ini boleh dibezakan dengan Meizu Pro 7 dimuatkan set cip Helio P25, manakala Meizu Pro 7 Plus menggunakan cip tercanggih Mediatek 10mm, Helio X30 sepuluh teras.

Di samping itu, memori pada Pro 7 dan Pro 7 Plus masing-masing hadir dengan 4GB dan 6GB RAM serta storan 64GB dan 128GB ROM serta kedua-dua dioperasikan oleh Android 7.0 Nougat.

Janaan kuasa pula mendapat bekalan daripada bateri berkapasiti 3,500mAh pada varian Plus, dan 3,000mAh pada varian standard. Fungsi pengecasan pantas juga tidak sama, teknologi mCharge 4.0 pada model Plus, dan teknologi mCharge 3.0 pada model sebaliknya. Bagi melengkapkan kedua-dua peranti ini, bicu 3.5mm audio jack masih lagi disediakan malah cip audio kini dinaik taraf bagi menghasilkan bunyi yang lebih baik.

Meizu Pro 7 dan Meizu Pro 7 Plus akan mula dijual di China pada 5 Ogos depan pada harga seperti berikut:-

Meizu Pro 7
  • Versi Standard: 4GB + 64GB (P25) – ¥2,880 (kira-kira RM1,827)
  • Versi Premium: 4GB + 128GB (X30) – ¥$3,380 (kira-kira RM2,145)
Meizu Pro 7 Plus
  • Versi Standard: 6GB + 64GB (X30): ¥3,580 (kira-kira RM2,272)
  • Versi Premium: 6GB + 128GB (X30): ¥$4,080 (kira-kira RM2,589)
You might also like