
Apple baru sahaja melancarkan warna baru bagi model iPhone 7 dan 7 Plus. Variasi (Product) Red merupakan edisi istimewa dengan warna merah yang dilancarkan di mana sebahagian hasil jualan (Product) Red akan disalurkan kepada program HIV/AIDS.
Sebelum ini kami merasakan warna Matte Black merupakan warna terbaik yang ditawarkan pada iPhone 7 dan 7 Plus, namun dengan warna baru ini dengan pantas telah menambat hati kami. Kontra warna pada bahagian panel belakang di antara warna merah badan, warna hitam kamera dan logo perak Apple memang menyerlahkan keanggunan peranti ini.
Namun kami merasakan terdapat sedikit perkara yang sebenarnya boleh dilakukan Apple bagi menjadikan peranti ini lebih menarik. Panel hadapan iPhone 7 / 7 Plus (Product) Red hadir dengan warna putih, alangkah lebih baik jika Apple memilih panel hitam, pasti ia akan menyerlahkan lagi rupa keseluruhan peranti. Jika anda masih ingat OPPO R9s versi Valentine’s Day yang dilancarkan pada bulan lalu, ia mempunyai skema warna yang sama dan hadir dengan panel hadapan hitam, tidakkah ia tampak lebih anggun dan eksklusif?

