
MWC 2017: Xperia XA1 & XA1 Ultra, Peranti Kelas Pertengahan Dari Sony

Pada acara MWC 2017, Sony Mobile Communications selain melancarkan flagship terbaru Xperia XZ Premium, turut melancarkan dua model pertengahan yang diberi nama Xperia XA1 dan Xperia XA1 Ultra. Kedua-dua model ini menawarkan skrin sisi ke sisi, kamera berspesifikasi tinggi dan juga pemproses 8 teras.
Kemampuan Kamera
Xperia XA1 dan Xperia XA1 Ultra menawarkan kamera 23MP dengan sensor RS Exmor 1/2.3″. Kamera hadapan Xperia XA1 pula dilengkapi lensa wide-angle bagi memudahkan pengguna menghasilkan group selfie. Sensor 8MP yang digunakan pula dijamin dapat menghasilkan kualiti gambar yang baik.
Bagi Xperia XA1 Ultra pula, kamera hadapannya dipertingkatkan dengan sensor 16MP, sambil disokong Optical Image Stabilizer bagi memastikan kamera stabil ketika gambar diambil, sekaligus menghasilkan gambar yang baik.
Pemproses Cekap
Pemproses MediaTek Helio P20 Octa-core memberikan pengguna pengalaman yang cepat dan lancar, sama ada ketika melayari laman web, menonton video atau bermain permainan kegemaran.
Kedua-dua XA1 dan XA1 Ultra direka untuk memastikan prestasi yang lebih tahan lama sepanjang hayat telefon pintar ini. Qnovo Adaptive Charging merupakan teknologi yang digunakan Sony untuk memantau keadaan semasa bateri dan menyesuaikan proses cas bagi memelihara, memanjangkan dan menjaga bateri agar tahan lebih lama dan selamat untuk digunakan.

Sony Smart Cleaner pula menguruskan prestasi dan memori peranti dengan mengosongkan cache dan menguruskan aplikasi yang tidak aktif. Kedua-dua peranti ini juga menyokong teknologi pengecasan pantas bagi memudahkan hidup anda.
Dijangkakan peranti ini akan mula dijual sekitar awal suku tahun kedua dengan warna pilihan seperti putih, hitam, merah jambu dan juga emas. Sony masih belum mengumumkan harga jualan bagi kedua-dua model ini.


