Apple Special Event 2019 : Apple Perkenal Sejumlah Perkhidmatan Terkini

Hari ini merupakan hari yang ditunggu-tunggu oleh peminat setia Apple di mana syarikat tersebut telah pun mengadakan satu acara khas berlangsung di Steve Jobs Theater. Dengan slogan “It’s Show Time”, Apple telah memperkenalkan sejumlah perkhidmatan terkini pada acara ini. Antaranya seperti berikut :

 

  • Apple News+ 

Apple News+ perkhidmatan langganan berbayar baru yang tidak terhad pada berita semata, tetapi membawakan majalah digital dengan kandungan visual khas. Terdapat sehingga 300 majalah merentasi pelbagai kategori termasuk : fesyen, berita, gaya hidup, kesihatan, perjalanan, makanan dan banyak lagi. Aplikasi ini beroperasi dengan kemaskini iOS dan mac OS yang terbaru.

Dari segi keselamatan, Apple mengesahkan bahawa ia tidak membenarkan pengiklan digital menjejaki pengguna sama sekali. Perkhidmatan ini berharga $9.99/bulan (kira-kira RM41) – harga ini termasuk perkongsian keluarga tanpa sebarang kos tambahan dan bulan pertama adalah percuma.

 

  • Apple Card

Apple turut mengumumkan Apple Card yang baru – perkhidmatan menjanjikan pengalaman kad kredit dengan aplikasi lebih mudah, kadar faedah rendah dan ganjaran lebih baik – dibina dalam aplikasi wallet pada iOS. Apple Card juga membolehkan pengguna menguruskan perbelanjaan dengan bijak dan melihat bil pembelian mereka secara tepat menerusi aplikasi.

Untuk mendapatkan Apple Card, pengguna hanya perlu mendaftar pada aplikasi Apple Wallet dan mendapatkan kad digital dalam masa beberapa minit. Ia menawarkan 2% cash back untuk urus niaga pada Apple Pay dan 3% cash daily pada pembelian yang dibuat melalui Apple Store.

Terdapat juga kad fizikal – diperbuat daripada titanium dan tidak mempunyai kod keselamatan CVV, tarikh tamat tempoh dan tandatangan sekaligus menjadikannya kad bank paling selamat – kad fizikal menawarkan pengguna 1% Cash Daily untuk setiap pembelian.

 

  • Apple Arcade

Apple juga telah mengumumkan perkhidmatan langganan permainan baru mereka iaitu Apple Arcade – membolehkan pengguna iOS untuk menikmati lebih 100 permainan premium dan eksklusif melalui perkhidmatan langganan bulanan. Langganan membolehkan pengguna memuat turun mana-mana permainan yang tersedia termasuk semua kemas kini yang diperlukan tanpa had.

Apple Arcade berfungsi pada iOS, macOS dan Apple TV. Difahamkan, semua permainan pada Apple Arcade juga boleh dimainkan secara offline dan tidak menampilkan sebarang iklan dalam aplikasi.

 

  • Apple TV 

Seiring acara khas ini, Apple turut melancarkan aplikasi Apple TV dengan ciri yang dipanggil Apple TV Channels – membolehkan pengguna memilih saluran bergantung pada cita rasa. Ia menawarkan servis termasuk HBO, Showtime dan CBS yang dibina dalam satu aplikasi Apple. Menampilkan rancangan dan filem daripada setiap kategori secara eksklusif pada aplikasi Apple TV.

You might also like