
Bagi kami ekosistem teknologi pintar Google merupakan salah satu yang lengkap dan terbaik di dunia. Dari sistem operasi peranti pintar, kecerdasan buatan dan sehinggalah perkakasan pintar, hampir semua aspek teknologi ketika ini mempunyai cap mohor Google di dalamnya.
Namun kadang kala agak sukar memahami sesetengah tindakan Google. Contohnya, Google Assistant hanya ditawarkan kepada smartphone berjenama Pixel, Google Home dan juga peranti Android Wear 2.0, lantas menutup kebolehan ini dari digunakan pengguna yang memilih peranti dari pengeluar lain. Selain itu, kapasiti kebolehan servis ini pula berbeza-beza pada setiap peranti, contohnya pada Google Home anda boleh mengawal perkakasan rumah pintar tetapi tidak pada Google Pixel.
Mungkin menyedari percanggahan yang ada pada ekosistem mereka, Google telah pun bertindak memberikan kebolehan mengawal perkakasan rumah pintar pada Google Pixel. Melalui fungsi yang baru sahaja diberikan kepada Google Pixel ini, anda boleh mengawal peranti di rumah anda dengan lebih mudah dan cepat, terus dari Google Pixel. Jika anda belum memiliki Google Pixel, tetapi mempunyai beberapa perkakasan pintar di rumah, mungkin sekarang anda mempunyai sebab yang kukuh untuk mendapatkan Google Pixel.



