
Nokia 150, Peranti Asas Mampu Bertahan Lama
Mungkin pada pandangan sesetengah orang, telefon bimbit atau lebih dikenali sebagai telefon asas sudah tidak lagi relevan pada masa kini. Tetapi sebenarnya telefon bimbit seumpama ini masih lagi penting lebih-lebih lagi bagi golongan yang mementingkan fungsi asas dan ketahanan bateri.
Setelah Nokia 216 dikeluarkan pada tahun lepas, Nokia mengambil keputusan mengeluarkan telefon asas yang dikenali sebagai Nokia 150. Bagi pengetahuan anda, peranti ini adalah keluaran dari syarikat Finland HMD Global yang baru-baru ini mengumumkan Nokia 6 yang menggunakan sistem operasi Android.
Nokia 150 yang hadir dengan paparan skrin bersaiz 2.4 inci QVGA ini mempunyai rekaan yang sangat kompak di mana dimensi kerangkanya hanya 118×50.2×13.5mm, seberat 81g. Peranti asas ini walaupun tampil dengan papan kekunci fizikal, tetapi ia masih sokong kamera VGA dengan LED flash, radio FM, pemain MP3 dan Bluetooth.
Apa yang menjadi tarikan utama pada Nokia 150, tentunya pada bateri berkapasiti 1020mAh ini yang mampu bertahan sehingga 31 hari. Tidak menjadi masalah pun sekiranya anda menjadikan peranti ini sebagai peranti kedua, kerana anda masih boleh menggunakannya pada waktu kecemasan.

