
HTC Memperkenalkan Flagship Baru Dilengkapi AI & Skrin Sekunder

Masih ingat HTC sebelum ini pernah memuat naik status mereka dengan sesuatu yang agak misteri? Ya, mereka akhirnya mengumumkan pelancaran flagship terbaru bersaiz 5.7 inci yang diberi nama HTC U Ultra.
Perkara pertama yang menonjol pada model ini adalah kemasan yang digunakan pada peranti. Menurut HTC, kemasan berkilat ini dikenali sebagai Liquid Surface yang memberikan rupa yang unik kepada U Ultra.
Selain daripada rupa yang agak berbeza, U Ultra juga memperlihatkan sesuatu yang baru dari HTC. Model ini dilengkapi skrin sekunder 2 inci yang diletakkan di atas skrin utama khas untuk memaparkan shortcuts, notifikasi, peringatan dan lain-lain. Selain itu, ia juga dilengkapi teknologi kecerdasan buatan yang semakin popular ketika ini. Versi kecerdasan buatan dari HTC dikenali sebagai Sense Companion.

Selain U Ultra, HTC juga memperkenalkan U Play yang merupakan versi mini kepada model flagship tersebut. Dijangkakan peranti ini akan tiba ke dalam pasaran tempatan sekitar penghujung bulan Februari.

