10,000 Unit Huawei Mate 10 Habis Terjual

1266

Huawei Mate 10 yang baru dilancarkan pada 16 Oktober lalu menampilkan beberapa ciri menarik termasuk rekaan yang serba baru dan kamera Leica yang serba canggih. Pada masa sama, Huawei juga telah membuka sesi pra-tempahan kepada orang ramai bermula pada 19 Oktober lepas.

Hari ini, Huawei mengumumkan kempen pra-tempah tersebut mendapat sambutan yang memberansangkan malah sebanyak 10 ribu unit telah terjual melalui atas talian seluruh Malaysia. Sambutan yang baik ini mungkin disebabkan hadiah istimewa yang ditawarkan oleh Huawei. Ia merupakan pakej barangan Huawei bernilai RM999.

Huawei Mate 10 hadir dengan paparan skrin QHD, pemproses Kirin 970 (NPU), RAM 4GB, storan 64GB, dan gabungan dwi-kamera Leica 20 dan 12 Megapiksel f/1.6 – aperture paling besar pernah diperkenalkan pada telefon pintar. Selain menyokong fungsi kalis air IP53, peranti ini turut dibekalkan dengan bateri berkapasiti 4,000mAh.

Peranti yang dijana menerusi Android 8.0 Oreo ini ditawarkan dengan pilihan warna Mocha Brown dan Black pada harga RM2,699 dan dijangka akan menemui pengguna seawal 28 Oktober 2017.