
Fungsi Ala-Ala Windows Continuum Pada Samsung Galaxy S8
Telah banyak yang diperkatakan mengenai Samsung Galaxy S8 akhir-akhir ini. Samsung amat memerlukan sesuatu yang benar-benar mengagumkan pengguna selepas kemelut yang melanda Galaxy Note7. Setakat ini, kedengaran seperti Samsung meletakkan segala kemampuan, idea dan kebolehan mereka kepada Galaxy S8.
Sebuah laman web memuat naik sebuah slide persembahan yang menunjukkan kemampuan Galaxy S8. Seperti yang anda boleh lihat, smartphone disambungkan ke monitor dengan papan kekunci dan tetikus tanpa wayar. Sistem operasi dan aplikasi di dalam smartphone dipapar dan boleh digunakan melalui monitor, papan kekunci dan tetikus. Fungsi ini amat serupa dengan apa yang diperkenalkan Windows melalui fungsi Continuum.
Jika fungsi ini benar-benar dimasukkan pada Galaxy S8, kami pasti ramai pengguna yang akan gembira kerana ia akan memudahkan tugas, terutamanya yang melibatkan aplikasi produktiviti.