CES 2017: Basikal Pintar LeEco

1LeEco memperlihatkan dua basikal pintar baru mereka pada acara pameran CES 2017 yang sedang berlangsung ketika ini di Las Vegas, Smart Road Bike dan Smart Mountain Bike kini boleh dilihat, dibelek dan dicuba para pengunjung CES di ruang legar pameran acara tersebut.

Dengan berat 18.5 paun, LeEco Smart Road Bike mempunyai ciri-ciri yang anda inginkan pada sebuah basikal pintar, ia mempunyai rangka serat karbon Toray T700, bahan yang sama juga digunakan untuk tempat duduk, sesepit, hendal dan juga roda.

2Ciri utama basikal ini adalah BikeOS yang dibina LeEco, ia dibina berasaskan Android 6.0 Marshmallow. BikeOS membolehkan penunggang untuk menggunakan aplikasi navigasi yang telah disesuaikan untuk menunggang basikal menggunakan HERE Maps, komunikasi dua hala dengan basikal lain yang berada berdekatan dan pemain muzik. Pengguna juga boleh memuat turun aplikasi pihak ketiga untuk mengkaji dan berkongsi maklumat tunggangan.

Kedua-dua model mempunyai cip pemproses Snapdragon 410, skrin sentuh 4 inci dan bateri 6000mAh untuk menguasakan BikeOS. Terdapat juga pelbagai sensor untuk memantau maklumat tunggangan seperti GPS, pecutan, kompas, barometer, tahap cahaya dan kelajuan. Komponen elektronik basikal ini dikelaskan sebagai IP54, bermakna ia kalis debu dan percikan air.

LeEco bagaimanapun tidak menyebut sebarang maklumat berkenaan harga ataupun pasaran untuk basikal pintar ini, tetapi berkata bahawa kedua-dua basikal ini akan mula dijual di Amerika Syarikat pada suku kedua 2017.

You might also like