
Sistem Kecerdasan Buatan Bixby Akan Menjadi Nadi Utama Samsung Galaxy S8
Pada awal tahun ini, Samsung membeli syarikat Viv, pembina kecerdasan pintar yang juga bertanggungjawab mencipta Siri untuk iOS. Kini sudah hampir pasti kecerdasan pintar Samsung yang dikenali sebagai Bixby akan dikuasakan oleh teknologi yang dibangunkan Viv dan akan menyokong hampir semua aplikasi pada Galaxy S8.
Bixby dikatakan bekerja pada hampir keseluruhan sistem Galaxy S8. Ini bermakna bahawa kebanyakan aplikasi yang sudah dipasang pada telefon pintar Samsung akan menyokong teknologi AI ini. Sebagai contoh, pengguna boleh mengarahkan Bixby untuk menunjukkan gambar yang diambil pada tarikh tertentu ketika berada di dalam aplikasi Galeri. Terdapat juga laporan yang menjangkakan Samsung akan melakukan ubah suai yang drastik pada antaramuka sistem operasi bagi menyesuaikan ianya dengan Bixby.
Setakat ini masih belum dapat dipastikan bagaimana Google akan bertindak balas terhadap Bixby. Secara teorinya Bixby akan menjadi pesaing terdekat Google Assistant yang merupakan ciri teras kepada sistem operasi Android tulen. Namun Google Assistant setakat ini hanya ditawarkan untuk peranti Pixel sahaja.
Dari segi perkakasan pula, telefon pintar yang dinanti-nantikan ini khabarnya akan hadir dengan paparan 5 inci dan 6 inci beresolusi 2K Super AMOLED dengan skrin dwi-lengkung. Samsung Galaxy S8 mungkin akan dikuasakan cip pemproses Qualcomm Snapdragon 835 dan mungkin dibantu dengan 8GB RAM.
Baca Juga
- Ura-Ura: Samsung Galaxy S8 Mungkin Dilengkapi 8GB RAM?
- Samsung Galaxy S8 Dengan Paparan 6 Inci?
- Ura-Ura: Samsung Galaxy S8 Mungkin Menjadi Smartphone Pertama Dilengkapi Cip Pemproses Terbaru, Qualcomm Snapdragon 835

