Creative Sound BlasterX Katana Dan Creative iRoar Go Boleh Dimiliki Pada Harga RM1299 Dan RM849

Creative Technology yang sememangnya terkenal untuk jenama Sound Blaster keluarannya dan pernah memenangi pelbagai anugerah produk audio terbaik, baru-baru ini telah memperkenalkan dua lagi speaker terbarunya untuk pasaran tempatan. Dua model yang telah dibawa masuk ke negara ini adalah Sound BlasterX Katana dan juga Creative iRoar Go yang dilengkapi dengan sistem speaker 5-pemacu yang berupaya menjanjikan pengalaman yang terbaik.

Creative Sound BlasterX Katana – RM 1,299

Speaker ini telah dihasilkan khusus untuk gamer yang menginginkan sistem audio terbaik ketika mereka bermain mahupun menonton filem. Ini kerana Sound BlasterX Katana menawarkan speaker bar dengan saluran 2.1 yang menggunakan pemproses audio 24-bit beresolusi tinggi. Sokongan dekoder yang diiktiraf oleh Dolby Digital pada speaker ini juga turut menjanjikan bunyi keliling 5.1 yang sangat realistik. Lebih menariknya, ia juga turut dilengkapi dengan 49 lampu LED yang boleh diprogramkan untuk memastikan pengalaman hiburan yang terbaik.

Sebagaimana nama yang digunakan, rekaan Sound BlasterX Katana telah diinspirasikan daripada pedang Katana yang diperbuat daripada panel aluminium yang telah digilap. Malah ketebalan kerangka yang kurang dari 2.5 inci ini juga membolehkannya untuk dimuatkan di bawah monitor komputer mahupun TV di ruang tamu. Sound BlasterX Katana ini juga bukan sekadar berfungsi sebagai speaker, tetapi ia turut boleh digunakan sebagai kad bunyi yang menyokong isyarat input audio maya dengan saluran 7.1 melalui sambungan USB dari PC.

Creative iRoar Go – RM 849

Berbeza dengan Sound BlasterX Katana, iRoar Go pula merupakan speaker Bluetooth mudah alih yang dilengkapi dengan teknologi SuperWide. Kombinasi antara teknologi tersebut dengan sistem speaker 5-pemacu pada speaker ini turut memastikan pemproses pintar yang membolehkan pengguna untuk membezakan antara sumber audio kiri dan kanan dengan lebih tepat. Speaker yang memliki bateri terbina-dalam berkapasiti 5200 mAh ini juga berupaya menjanjikan masa memain audio mencecah sehingga 12 jam, dan dalam masa yang sama turut dilengkapi dengan output USB 1.0A untuk mengecas telefon pintar ataupun tablet anda.

Pengiktirafan IPX6 pada speaker dengan sistem 5-pemacu terkecil dan teringan di dunia ini turut memastikan ciri kalis air yang tahan lasak daripada percikan air ataupun hujan. Selain itu, ia turut menyokong dua fungsi tambahan iaitu Advanced Recorder yang berupaya merekod bunyi ke dalam kad microSD dan juga boleh digunakan sebagai sistem PA melalui sambungan iRoar Mic yang dijual secara berasingan. iRoar Go turut boleh digunakan sebagai kad bunyi tambahan untuk PC dan Mac dengan lossless USB DAC terbina-dalam yang disokongnya.Manakala pengguna peranti Android dan iOS juga boleh mengawal speaker ini menggunakan bantuan aplikasi Sound Blaster Connect.

Sound BlasterX Katana dan iRoar Go boleh dimiliki melalui pengedar sah ALL IT Hypermarket di KLCC serta IOI City Mall, Asahi Technology Sdn Bhd, dan juga IT STUFF Plaza Hartamas. Manakala pembeli di luar Kuala Lumpur boleh membelinya secara atas talian melalui CVG ONLINE Store di Lazada dan juga Shopee.

You might also like