
Samsung Galaxy S8 Dengan Pembantu Peribadi Khas Viv
Pada awal Oktober, Samsung telah membeli Viv Labs, startup yang dibentuk oleh pencipta Siri. Viv Labs kemudiannya membangunkan kecerdasan pintar yang cukup hebat, dikenali sebagai Viv. Kini, syarikat itu telah mengesahkan bahawa Viv akan menjadi salah fungsi terbaru yang akan disertakan bersama-sama telefon pintar Samsung Galaxy S8 yang akan datang.
Menurut Reuters, Samsung merancang untuk menggabungkan Viv ke dalam “telefon pintar Galaxy dan mengembangkan perkhidmatan pembantu digital kepada peralatan rumah dan peranti teknologi boleh pakai.”

Syarikat itu tidak menyatakan dengan spesifik sejauh manakah Viv akan berfungsi pada peranti Galaxy S8 akan datang, namun Naib Presiden Eksekutif Samsung Rhee Injong berkongsi bahawa mereka akan membuka pintu kerjasama VIV dengan pihak ketiga. Menurut beliau langkah ini penting bagi meluaskan skop kepintaran Viv dan memudahkan servis kecerdasan pintar ini dimiliki pengguna.

Dengan apa yang terjadi pada Galaxy Note 7, agak jelas Samsung sekarang berhempas-pulas dalam penghasilan Galaxy S8. Mereka nampaknya perlu memenangi hati pengguna dengan menawarkan peranti hebat dari segenap segi, dan kecerdasan pintar adalah salah satu fungsi yang pastinya akan dihargai pengguna.