
CES 2017: Samsung Odyssey, Percubaan Pertama Samsung Di Dalam Pasaran Komputer Riba Gaming
Samsung sudah sekian lama menghasilkan komputer dan komputer riba yang berkualiti tinggi, dan pada tahun lalu siri Notebook 9 mereka mendapat sambutan yang sangat positif. Tetapi, Samsung agak terasing dari pasaran komputer gaming, namun semua itu bakal berubah tahun ini dengan memperkenalkan Odyssey, siri komputer riba gaming pertama dari mereka.
Pada CES 2017 tahun ini, Samsung telah melancarkan Odyssey 15 dan Odyssey 17 yang masing-masingnya mempunyai paparan 15 inci dan 17 inci. Ia adalah satu siri baru untuk Samsung yang agak minimal namun dipadatkan dengan perkakasan berkelas gaming. Pemproses grafik NVIDIA GeForce 1050 boleh dipadatkan pada siri ini bagi spesifikasi paling asas untuk menikmati permainan beresolusi Full HD.
Jika anda mahu bermain permainan VR, anda bolehlah menempah siri ini bermula dengan pemproses grafik NVIDIA GeForce 1060. Menurut ura-ura NVIDIA GeForce 1070 dan 1080 juga akan membuat kemunculan pada siri Odyssey ini, setidak-tidaknya pada model 17 inci. Dikhabarkan juga bahawa kedua-dua model Odyssey akan dipadatkan dengan cip pemproses Intel Core i7 dan juga paparan standard 1920 x 1080 piksel.

