
Fasiliti Penghasilan LG Akan Membekalkan Bateri Untuk Peranti Samsung Pada Masa Hadapan
Samsung Electronics dilaporkan sedang berunding dengan LG Chem untuk menjadikan fasiliti pengeluaran LG tersebut menjadi salah satu pembekal bateri telefon pintar Samsung, menurut artikel di dalam akhbar Chosun Ilbo yang dikeluarkan baru-baru ini. Langkah tersebut diambil bagi mengelakkan masalah bateri yang dihadapi Galaxy Note7 dari berulang pada masa hadapan. Buat masa kini Samsung Electronics mendapatkan bekalan bateri dari Samsung SDI dan Amperex Technology.
Seorang pegawai industri berkata bahawa terdapat peluang 90% perjanjian di antara Samsung dan LG akan dimeterai di mana Samsung Electronics akan mula memperoleh bateri dari LG Chem bermula separuh kedua tahun depan. Walau bagaimanapun jurucakap Samsung Electronics enggan memberikan sebarang komen terhadap laporan itu, begitu juga wakil LG Chem yang tidak memberikan sebarang respon.
Samsung Electronics mengumumkan penarikan balik 2.5 juta Galaxy Note7 yang dilaporkan cenderung untuk terbakar bermula awal September. Pada bulan Oktober, Samsung memberhentikan terus penjualan, pengedaran dan juga penghasilan peranti tersebut apabila masalah semakin meruncing.
Untuk pengetahuan anda, LG Chem kini membekalkan bateri telefon untuk LG Electronics dan Apple AAPL. Selain itu, kilang pengeluaran ini juga dikenali sebagai salah satu pengeluar yang menghasilkan bateri untuk kereta elektrik.

