
Super Mario Run Menjana 5 Juta USD Dalam Masa 24 Jam
Ketika anda sedang mengumpul syiling di dalam permainan Super Mario Run pada iPhone anda, Nintendo pula sedang mengumpul keuntungan yang berlipat ganda melalui permainan tersebut.
Menurut laporan firma kajian, Sensor Tower, Super Mario Run telah menjana kira-kira USD 5 juta (RM 22.39 juta) dalam masa 24 jam pertama setelah permainan tersebut sedia dimuat turun dari App Store. Super Mario Run dicatatkan sebagai permainan yang paling banyak dimuat turun di 80 buah negara dan menduduki carta aplikasi terlaku.
Tetapi kejayaan awal ini bukanlah satu jaminan pada masa hadapan. Ada kemungkinan bahawa prestasi awal ini akan reda dengan segera seperti yang dialami permainan Pokemon Go. Super Mario Run adalah percuma untuk dimuat turun, dan kemudian anda boleh melakukan pembelian bernilai USD 10 (RM 44.79) bagi membuka semua kandungan permainan.
Secara purata pemain telah menghabiskan 15.5 minit bermain dalam tempoh 24 jam pertama aplikasi ini tersedia. Nombor tersebut mungkin akan menjadi lebih tinggi lagi jika tidak kerana penguncian kandungan berbayar. Namun begitu bagi menjadikan permainan ini terus menarik dan mengekalkan pemainnya, Nintendo dijangkakan akan mengumumkan diskaun tidak lama lagi bagi pembelian kandungan permainan.

