
Khabar Angin : Samsung Galaxy S8 Akan Hadir Dengan Paparan Besar
Nampak gayanya Samsung dilaporkan cuba mengubat kedukaan pemilik Galaxy Note7 dengan menawarkan paparan besar bagi model akan datang, Galaxy S8. Majoriti pemilik Galaxy Note7 terdiri daripada kalangan pengguna yang sudah selesa menggunakan peranti siri Galaxy Note dan amat sukar untuk mereka berganjak ke paparan yang lebih kecil. Demi mengekalkan golongan pengguna tersebut dengan jenama Samsung, syarikat Korea tersebut dilaporkan akan menghasilkan dua variasi Galaxy S8.
Berkemungkinan besar kita akan dapat melihat Galaxy S8 dengan skrin 5.7 inci dan 6.2 inci pada tahun hadapan. Jika anda tergolong dalam kalangan pengguna yang kurang menggemari skrin yang terlalu besar pula, paparan 5.7 inci pasti cukup memadai untuk penggunaan harian anda.
Bagaimanapun kami tidak sabar menantikan pengumuman peranti ini kerana sudah pasti Samsung akan berhempas pulas memenangi hati pengguna selepas apa yang terjadi dengan Galaxy Note7.