
Honor 6X Bakal Dilancarkan Pada 18 Oktober Nanti
Genap setahun selepas Honor 5X diperkenalkan pada Oktober 2015 yang lalu, nampaknya ia bakal menerima model penggantinya dengan kemunculan model Honor 6X yang dikatakan akan dilancarkan pada 18 Oktober tahun ini. Maklumat berkaitan ketirisan tarikh pelancaran ini telah didedahkan oleh salah seorang media tempatan di China melalui weibo di negara itu.
Gambar dan juga spesifikasi awal Honor 6X yang sebelum ini telah berjaya didedahkan melalui TENAA pada dua minggu yang lepas telah memperlihatkan sokongan saiz paparan skrin yang sama seperti model sebelum ini iaitu berukuran 5.5 inci dengan resolusi 1080p. Selain itu, ia juga dipercayai akan dikuasakan dengan pemproses terbaru Qualcomm Snapdragon 625 dengan sokongan RAM yang masih lagi belum dapat disahkan sama ada 2GB atau 3GB, dan juga memori dalaman sebesar 32GB sebagaimana trend pengeluar pada masa kini.
Sokongan kerangka unibodi yang diperbuat daripada logam dengan pengimbas cap jari masih diteruskan sebagaimana Honor 5X, tetapi ia tampil lebih istimewa dengan sokongan dua buah lensa kamera utama sama seperti yang dapat dilihat pada model Honor 8. Namun begitu, diharapkan agar Honor tidak meletakkan label harga yang tinggi sebagaimana yang dapat dilihat pada Honor 8 sebelum ini, memandangkan jenama Honor sebelum ini terkenal dengan harganya yang mampu milik.

