Gambar Rasmi Dan Spesifikasi Penuh Moto X4 Tertiris

Tahun ini semakin rancak Motorola beraksi di pentas arena telefon pintar, pada bulan-bulan yang lepas kita sudah diperkenalkan dengan model siri C, E, G, dan Z. Mengikut jadual pelancaran Motorola, ada satu lagi model yang ingin diumumkan mereka iaitu model X4 yang mewakili siri X. Terkini, gambar rasmi dan spesifikasi penuh Motorola Moto X4 mula tertiris.

Peranti yang berada di kategori pertengahan ini hadir dengan paparan 5.2 inci 1080p didatangkan bersama pilihan warna kerangka Super Black dan Sterling Blue. Ukuran badan telefon pintar ini mengambil kira-kira 148.35 x 73.4 x 7.99mm dengan berat 163g.

Dihidupkan oleh cip pemproses Qualcomm Snapdragon 630, memori RAM dan storan disediakan adalah 3GB/32GB untuk pasaran negara barat, manakala 4GB/64GB pula untuk pasaran di negara Asia.

Mengenai konfigurasi kamera, ia dilengkapi sensor 12 Megapiksel dwi piksel autofocus, f/2.0 aperture dan sensor 8 Megapiksel ultra-lebar, f/2.2 aperture. Kedua-dua lensa ini turut dibantu dengan dua LED flash. Sementara di sebelah depan, terdapat sensor tunggal 16 Megapiksel f/2.0 aperture menyokong rakaman video 4K 30fps dan 1080p menyokong 60fps.

Walaupun peranti ini hanya dibekalkan dengan bateri 3,000mAh, ia masih menyokong teknologi pengecasan pantas Turbo Charge selain, kerangka unibodi juga diiktiraf sebagai peranti kalis air dan debu IP68. Tiada maklumat lanjut mengenai tarikh pelancaran dibuat setakat ini.

You might also like