
Remaja 19 Tahun Berjaya ‘Jailbreak’ iPhone 7, Kurang Daripada 24 Jam
Apple telah memulakan jualan iPhone 7 dan 7 Plus mereka di beberapa negara setelah perasmiannya. Kini ada berita baik untuk pemilik iPhone terbaru! Anda tidak perlu menunggu lama untuk ‘Jailbreak’ kerana seorang remaja telah berjaya menggodam sekuriti Apple iPhone 7 kurang daripada 24 jam.
Remaja yang dimaksudkan adalah Luca Todesco, atau lebih dikenali dengan nama samaran ‘qwertyoruiop‘. Remaja berusia 19 tahun ini dikenali ramai dalam dunia ‘Jailbreak’. Seperti yang diketahui, ‘Jailbreak’ membolehkan pengguna mendapatkan aplikasi yang tidak disahkan dengan lebih mudah serta membolehkan pengguna menggubah tetapan OS. Luca Todesco menyertakan bukti di mana dia berjaya ‘Jailbreak’ iPhone 7 kepunyaannya.
Menurut Luca Todesco, iPhone 7 sememangnya hadir dengan sekuriti yang lebih ketat berbanding model sebelum ini, tetapi ini tidak bermakna ‘the best, most advanced iPhone ever’ 100% selamat. Luca Todesco memberitahu, setakat ini dia tidak berminat untuk melaporkan kepada pihak Apple mengenai bug yang ditemui pada iPhone 7. Walaupun Apple telah menjanjikan sejumlah wang yang besar buat mereka yang berjaya menggodam iPhone terbaru ini.

