
U Mobile mengumumkan inisiatif terbarunya yang merupakan ganjaran istimewa kepada pelanggan prabayar dan pascabayar. Dikenali sebagai U Special Loyalty Programme (Program Kesetiaan U Special), program ini bertujuan memberi ganjaran kepada pelanggan paling setia dengan tawaran dalam bentuk jaminan, detik istimewa, kejutan dan pelancongan.
Bermula 26 Ogos 2016, pelanggan U Mobile yang layak menyertai U Special Loyalty Programme, boleh menikmati ganjaran berupa manfaat pelancongan lengkap. Sebelum berangkat ke destinasi, mereka akan diberikan e-baucer makanan secara percuma yang boleh digunakan di Starbucks cawangan KLIA atau KLIA2; apabila mereka melancong, mereka dijamin oleh insurans pelancongan secara percuma; dan mereka juga dapat menikmati kadar eksklusif penginapan di Berjaya Hotel Resorts yang terpilih. Sepanjang tempoh pelancongan, pelanggan U Mobile yang melanggan pelan pascabayar terpilih boleh mengambil kesempatan untuk menikmati manfaat perkhidmatan Data Backpack U Mobile di mana pelanggan boleh menggunakan data mereka secara percuma semasa merantau di 12 destinasi kunjungan.
Untuk meraikan pelancaran program kesetiaan yang baharu ini, pelanggan U Mobile telah dijemput menghadiri majlis makan malam eksklusif dan menikmati sajian bufet serta beramah mesra dengan Chef Malcom, iaitu personaliti jurumasak popular dalam program seperti ‘Great Dinners of the World’ dan ‘Back to the Streets’ di saluran Asian Food Channel (AFC).
Ketua Pegawai Pemasaran U Mobile, Jasmine Lee berkata, usaha yang gigih telah dilakukan untuk mencipta U Special Loyalty Programme. Oleh kerana tidak mahu hanya menyampaikan program kesetiaan yang biasa, U Mobile menggunakan pendekatan yang komprehensif untuk memberi tawaran yang relevan kepada pelanggan.
U Special Loyalty Programme adalah PERCUMA dan pelanggan U Mobile yang layak akan didaftar secara automatik ke program ini. Keahlian program kesetiaan ini akan diperbaharui setiap enam (6) bulan. Pelanggan U Mobile boleh log masuk portal Self Care U Mobile atau app MyUMobile di Android atau iOS bagi menyemak kelayakan masing-masing. U Mobile akan menghubungi pelanggan yang layak secara langsung menerusi SMS dan/atau emel.


