
Pendedahan Casing Keluaran Olixar Memberi Petunjuk Rekaan Samsung Galaxy Note 7
Jika ujian benchmark memberi klu berhubung sokongan spesifikasi sesebuah peranti terbaru yang akan diperkenalkan di pasaran, pengeluar aksesori pula sering dikaitkan dengan pendedahan awal rekaan sesebuah peranti sebelum ianya didedahkan kepada umum. Baru-baru ini pengeluar aksesori yang berpangkalan di UK telah mula membuat pra-tempahan untuk pengguna memiliki casing yang diperkenalkan khas untuk model Samsung Galaxy Note 7.
Pendedahan gambar casing Olixar NovaShield itu secara tidak langsung telah memberikan gambaran awal rekaan sebenar Samsung Galaxy Note 7, yang mana ia memperlihatkan paparan skrin melengkung pada sisinya sebagaimana model Samsung Galaxy S7 edge. Bahkan bahagian bawah sisi kiri casing ini juga telah direka untuk menempatkan slot S Pen. 
Berdasarkan kepada maklumat yang diperolehi, Olixar NovaShield akan dijual pada harga USD19.99 atau kira-kira RM80.30 dengan empat warna pilihan iaitu Blue Leather, Red Leather, Carbon Fibre Black dan juga Carbon Fibre Gold.

