
KEMAS KINI!!
“Huawei P9 & P9 Lite akan mula dijual pada 28 Mei 2016, sementara P9 Plus akan menyusul selepas ini.”
Huawei P9 yang sebelum ini hangat diperkatakan di Internet kerana menampilkan keupayaan penggambaran eksklusif daripada LEICA, akhirnya telah dilancarkan secara rasmi di rantau Pasifik Selatan baru-baru ini. Majlis pelancaran yang diadakan bersempena Persidangan Jenama Pasifik Selatan ini telah berlangsung di Bali ini telah memperlihatkan bukan satu model tetapi tiga model dari siri P9 telah diperkenalkan kepada umum. Sebagaimana pembaca sudah sedia maklum, selain daripada Huawei P9, Huawei juga telah memperkenalkan dua lagi model dari siri tersebut iaitu P9 Plus dan juga P9 Lite.
Berdasarkan kepada pendedahan yang telah dibuat, ketiga-tiga model ini akan mula dijual secara rasmi di tujuh buah negara di rantau Asia Pasifik Selatan iaitu Singapura, New Zealand, Filipina, Australia, Papua New Guinea, Indonesia dan ini termasuklah pasaran di Malaysia. Lebih menariknya, Huawei menjanjikan ia akan berada di pasaran bermula penghujung bulan Mei ini. Setakat ini tiada harga yang didedahkan untuk ketiga-tiga model tersebut.
